1. Niat

“Innamal a’malu binniat”, sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niat. Jadi, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah membetulkan niat. Jika dilihat, menunaikan umrah pada masa sekarang juga seakan-akan menjadi trend baharu untuk percutian. Memuatnaik gambar selfie berposing di Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya juga dilihat sebagai normal dan menjadi perkara wajib yang dilakukan setiap kali ke sana.

Harus diingat, menunaikan umrah adalah satu ibadah. Saya tidak katakan bergambar itu menjadi suatu kesalahan, tetapi dibimbangi gambar-gambar yang dikongsikan di laman media sosial itu nanti akan mengundang perasaan riak dalam diri kita sekaligus menjejaskan niat dan ibadah yang kita lakukan.

Jadi, perbetulkan dan perbaharui niat kita ke Tanah Suci untuk beribadah dan bukannya riadah.

  1. Ilmu

Ilmu merupakan persediaan menunaikan umrah terpenting yang perlu kita miliki sebelum menunaikan umrah. Ini kerana ibadah umrah mempunyai rukun-rukun yang perlu kita patuhi. Ilmu-ilmu berkaitan ibadah umrah ini boleh dipelajari secara teori dan praktikal sama ada melalui pembacaan buku, mengikuti kursus umrah atau pun belajar daripada internet. Sekiranya kita berkesempatan mengikuti kursus umrah, itu adalah lebih baik kerana kita dapat bertanyakan secara langsung kepada tenaga pengajar sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan rukun ataupun selainnya.

  1. Sempurna Rukun

Sebagai seorang Muslim, Rukun Islam merupakan sesuatu yang kita wajib patuhi. Oleh itu, sempurnakanlah kelima-lima rukun Islam tersebut sebelum menunaikan ibadah Umrah. Walaupun begitu, terdapat beberapa perselisihan berkenaan menunaikan umrah sebelum menyempurnakan rukun Islam yang kelima iaitu mengerjakan haji.  Berdasarkan sebuah hadis daripada Zaid bin Thabit R.A.  katanya: Rasulullah S.A.W.bersabda: “Mengerjakan haji dan umrah itu dua fardhu cuma sekali sahaja, dan bolehlah dikerjakan mana-mana satu (sama ada haji atau umrah) dahulu.”

  1. Kewangan

Persedian menunaikan umrah yang terpenting merupakan kemampuan kewangan. Umrah sememangnya merupakan satu ibadah yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Allah dan pengunjung-Nya. Jika mereka meminta kepada-Nya nescaya dia akan kabulkan, jika mereka meminta ampun nescaya akan diberi keampunan dan jika mereka meminta syafaat nescaya mereka akan diberi syafaat.” (Ibnu Majah).

Oleh yang demikian, pastikan sumber kewangan yang digunakan untuk menunaikan umrah ataupun haji itu bersih daripada sumber-sumber yang diragui. Ini bagi mengelakkan ibadah yang dilakukan itu tidak diterima oleh Allah S.W.T.

  1. Imunisasi dan Kesihatan

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Begitu juga situasinya dengan bakal-bakal Jemaah yang akan menunaikan umrah dan haji.  Suntikan imunisasi ini merupakan salah satu langkah pencegahan yang perlu dilakukan oleh bakal Jemaah sebelum berangkat ke Makkah. Ini kerana, suntikan vaksin dapat membantu bakal-bakal Jemaah mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti wabak-wabak penyakit ketika berada di luar negara.

Pihak berkuasa Arab Saudi telah mewajibkan pengambilan Vaksin Meningococcal Quadrivalent (ACYW-135) kepada mana-mana Jemaah yang belum pernah mengambil suntikan ini sebelum berlepas ke Tanah Suci. Ini bagi mengelakkan diri mereka daripada terdedah kepada penyakit berjangkit dan boleh disebarkan kepada orang lain. Bagi bakal jemaah yang belum pernah mengambil suntikan ini, kita diwajibkan mengambil suntikan ini sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum berlepas ke Tanah Suci.

  1. Pasport dan Visa

Untuk mana-mana urusan penerbangan ke luar negara, kita diwajibkan mempunyai passport sebagai pengenalan diri bagi mengelakkan kita daripada ditahan pihak imigresen. Bagi bakal Jemaah yang belum mempunyai passport, kita bolehlah membuat ataupun memperbaharui passport sedia ada di mana-mana cawangan Jabatan Imigresen di seluruh Malaysia. Bagi permohonan passport kali pertama, kita akan dikenakan bayaran sebanyak RM200 untuk tempoh 5 tahun. Bagi bakal Jemaah yang sedang membuat persediaan menunaikan umrah dan ingin memperbaharui passport, kita kini boleh melakukannya dengan membuat permohonan secara online melalui MYonline Pasport.

  1. Solat

Sesungguhnya solat itu tiang agama. Jadi, sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci apa kata perbaiki kualiti solat kita terutamanya dari segi mutu bacaan dengan tajwid yang betul serta fahami maksud ayat yang dibacakan supaya solat menjadi lebih khusyuk. Selain itu, mempraktikkan solat Jemaah serta solat-solat sunat juga merupakan antara perkara yang perlu kita biasakan sebelum menunaikan umrah. Ini kerana bukan selalu kita akan mendapat peluang untuk beribadah di Tanah Suci. Jadi, gunakan peluang yang ada ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat ketika berada di sana.

  1. Taubat Nasuha

Menunaikan umrah ini umpama mempersembahkan diri kita kepada Allah. Jadi, sudah semestinya kita ingin memberikan yang terbaik ketika menghadapnya apatah lagi kehadiran kita ke sana adalah untuk beribadah. Jadi, sebaiknya persedian menunaikan umrah kita mulakankan dengan solat sunat taubat supaya dapat membersihkan diri daripada segala dosa yang pernah dilakukan.

  1. Sabar / Kawal perasaan

Sabar itu separuh daripada iman. Tetapi untuk mengawal kesabaran itu bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Apabila berada di Tanah Suci, kita akan diuji dengan bermacam-macam perkara terutamanya ragam manusia yang pelbagai dari seluruh dunia. Jadi, didik diri kita untuk banyakkan bersabar dan beristighfar dengan apa jua cabaran yang bakal dilalui ketika menunaikan umrah nanti. Mulakan dari sekarang untuk mengawal perasaan dan kemarahan supaya ia tidak memberi kesan kepada ibadah yang bakal dijalankan.

  1. Bersenam

Selain dapat meningkatkan stamina badan, bersenam juga dapat membantu kita untuk kekal cergas ketika menunaikan ibadah umrah nanti. Aktiviti seperti berjoging terutamanya dapat membantu kita membiasakan diri untuk berjalan kaki ketika melaksanakan ibadah umrah terutamanya sewaktu tawaf dan sa’i. Oleh itu, luangkan sedikit masa untuk bersukan supaya kita tidak menghadapi kesukaran yang melibatkan banyak pergerakan ketika berada di sana nanti.

  1. Doa dan Tawakkal

Sesungguhnya kita hanya mampu merancang, tetapi Allah jualah yang menentukan segalanya. Begitu juga dengan persediaan menunaikan umrah yang kita lakukan sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci nanti. Oleh itu, banyakkan berdoa dan bertawakkallah kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan ketika menunaikan umrah nanti. Semoga ibadah yang dilakukan nanti diterima oleh Allah s.w.t dan mengikut setiap apa yang di ajarkan Rasulullah s.a.w.

Semoga perkongsian tips ini dapat membantu jemaah bakal haji ataupun umrah. Umrah yang sempurna dan di terima bermula dari rumah. Jom kita mula sekarang.

Peluang untuk menunaikan ibadah umrah pada Disember 2021 merupakan kurniaan tidak terhitung nilainya. Penangguhan ibadah umrah dan pelaksanaan ibadah haji dalam jumlah yang begitu kecil dalam sejarah moden, hakikatnya memberikan kesan kepada aspek keagamaan, kemasyarakatan dan juga ekonomi. Namun disebabkan penyebaran wabak yang meluas di seluruh dunia termasuk di Arab Saudi sendiri, maka negara berkenaan menangguhkan pelaksanaan ibadah umrah untuk bukan sahaja jemaah dari luar tetapi juga dalam negara bermula pada Februari 2020. Walau bagaimanapun, peluang untuk menunaikan ibadah umrah dibuka semula termasuk untuk jemaah dari luar pada 9 Ogos 2021, iaitu selepas lapan belas bulan ditangguhkan. Hal ini susulan kelancaran musim haji pada tahun 2020.

Pelaksanaan ibadah haji pada tahun 2020 melibatkan jumlah jemaah yang jauh lebih kecil daripada kebiasaan. Dalam hubungan ini, Kementerian Haji dan Umrah Saudi mengenakan syarat tertentu seperti tahap kesihatan dan usia jemaah selain tidak menunjukkan bahawa mereka mempunyai simptom dijangkiti wabak. Menurut pihak berkuasa awam berkaitan statistik bagi Arab Saudi (GASTAT), pada tahun 2019, hampir 2.5 juta jemaah menyempurnakan ibadah haji dan ia melibatkan jemaah dari negara luar yang melebihi 70%.  Sementara itu, 19 juta jemaah menunaikan ibadah umrah sepanjang tahun, iaitu 7.5 juta orang dari luar Arab Saudi. Perhimpunan besar-besaran jelas boleh menimbulkan ancaman terhadap langkah kawalan wabak yang dilaksanakan Arab Saudi selain juga negara asal jemaah apabila mereka kembali ke negara masing-masing selepas menunaikan ibadah haji. Ibadah haji tahun 2021 juga menyaksikan penyertaan jumlah jemaah lebih kecil, iaitu sekitar 60,000 orang dan sekatan terhadap jemaah dari negara luar.

Bagi pelaksanaan ibadah umrah pada tahun 2021/2022, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenakan prosedur operasi standard (SOP) tertentu, termasuklah dos lengkap vaksin setiap jemaah. Imunisasi lengkap membabitkan vaksin keluaran China dikehendaki berserta dos penggalak, iaitu sama ada Pfizer-BioNtech, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson. Di samping itu, jemaah juga perlu memuat naik aplikasi “Tawakkalna dan Eatamarna” selain mematuhi langkah keselamatan  serta pencegahan lain yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi seperti pemakaian pelitup muka sepanjang masa. Aplikasi Tawakkalna yang menyerupai “MySejahtera” mengandungi maklumat peribadi jemaah, termasuk dos lengkap vaksin yang telah diterima. Sementara itu, aplikasi Eatamarna diperlukan untuk memohon kebenaran bersolat, bertawaf dan menunaikan umrah di Masjidil Haram serta memasuki Raudhah.

Kebenaran beribadah yang dipohon melalui aplikasi Eatamarna menjamin kelancaran dan pergerakan jemaah yang jauh lebih baik. Peluang untuk menunaikan solat setiap waktu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dalam kumpulan yang terkawal, bertawaf dengan selesa berhampiran Kaabah, menunaikan umrah lebih daripada sekali dan menziarahi Nabi SAW merupakan nikmat besar tidak terucap. Suasana yang berbeza, tersusun dan penuh adab lebih ketara terutama di Raudhah. Sebagaimana diakui jemaah yang mengunjungi Raudhah sebelum ini, tiada lagi suasana tidak terkawal seperti perebutan dalam kalangan jemaah untuk memasukinya. Begitu juga keadaan tidak tenteram dan tidak selesa untuk jemaah beribadah disebabkan tindakan tertentu jemaah lain. Yang dapat disaksikan dalam kunjungan ke Raudhah baru-baru ini, setiap kumpulan dibawa untuk menziarahi Rasulullah SAW dalam keadaan tertib dan diberikan peluang untuk melaksanakan sebarang bentuk ibadah dalam tempoh yang amat memuaskan, iaitu antara 10-20 minit. Ternyata, suasana tenteram dan tersusun ini benar-benar memenuhi adab terhadap Baginda Nabi SAW. Hal ini menzahirkan salah satu hikmah yang diakibatkan oleh pandemik yang masih diperangi seluruh dunia.

Sungguh mendukacitakan jika diperhatikan peluang keemasan untuk menunaikan umrah dan mengendalikan jemaah dalam situasi luar daripada kebiasaan seolah-olah tidak dimanfaatkan setulusnya oleh sebahagian pihak. Penipuan bahawa vaksin COVID-19 telah diperoleh dan pemilikan sijil vaksinasi palsu jelas merupakan kesalahan akhlak yang dilarang Islam. Aneh sekali kerana kembara rohani yang dilalui bertujuan beribadah kepada Allah SWT, menziarahi Nabi SAW dan mengharapkan ibadah umrah diterima, dicemari ketidakjujuran. Tindakan berkenaan juga jelas bertentangan kaedah fiqh yang melarang kemudaratan ditimbulkan sesama umat Islam.

Dalam hubungan ini, pembohongan yang dilakukan bukan sahaja mendedahkan diri individu terbabit bahkan juga jemaah serta orang lain kepada jangkitan wabak. Hal ini terbukti melalui laporan media yang menyebut bahawa sekitar 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah yang tidak menerima suntikan vaksin. Dalam konteks lebih luas, perbuatan ini mencalar reputasi agama dan juga negara. Selain itu, terdapat insiden yang memperlihatkan ketidakprihatinan agensi umrah untuk memastikan jemaah mereka memiliki aplikasi yang diperlukan. Perbuatan membiarkan jemaah khususnya warga emas yang tidak memiliki kemahiran untuk memuat naik aplikasi berkenaan sehingga terpaksa memohon bantuan pihak lain, menyerlahkan sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan. Kedua-dua situasi ini menzahirkan lenyapnya sifat amanah dan jujur yang sewajarnya lebih-lebih lagi dihidupkan di tanah suci.

Penangguhan sementara ibadah umrah bermula 8 Januari lalu meski disambut dengan kekecewaan oleh jemaah terlibat namun disedari matlamatnya yang lebih utama, iaitu memelihara kesihatan awam dan mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara. Sokongan yang diberikan rakyat seluruhnya pasti kelak akan menjadikan impian puluhan ribu jemaah yang tertunda ketika ini akhirnya menjadi kenyataan. Keinginan dan kerinduan 1.9 bilion umat Islam kepada tanah suci sememangnya tidak dinafikan, terutama bagi mereka yang sudah mengunjunginya apatah pula semasa pandemik. Hal ini dinyatakan oleh Ibn Battutah dalam “Pengembaraan Ibn Battutah” terbitan IKIM, “Antara keajaiban ciptaan Allah SWT ialah Dia membuat hati manusia cenderung dan rindu untuk menziarahi tempat-tempat suci-Nya. Dia juga mengukuhkan cinta tersebut dalam hati mereka sehingga menggenggam seluruh jiwa raga dan tidak dapat berpisah dengan tempat-tempat suci-Nya. Rindu mereka pun membara dan mereka berazam untuk berkunjung semula dalam kesempatan yang lain. Bumi tempat suci yang berkat itu menjadi tumpuan mata dan cinta manusia. Itulah hakikat yang memaparkan kebijaksanaan Allah SWT Yang Maha Tinggi yang membenarkan doa kekasih-Nya, al-Khalil A.S.”

Sumber : https://www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2022/01/28/umrah-semasa-pandemik-nikmat-tidak-terhitung/

Madini Travel & Tours Sdn Bhd 
(1175306-D) (KPK 8370)
73-B, Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Emel : hi@madinitravel.com
cross linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram