Sebuah Nikmat, Umrah Pandemik

Peluang untuk menunaikan ibadah umrah pada Disember 2021 merupakan kurniaan tidak terhitung nilainya. Penangguhan ibadah umrah dan pelaksanaan ibadah haji dalam jumlah yang begitu kecil dalam sejarah moden, hakikatnya memberikan kesan kepada aspek keagamaan, kemasyarakatan dan juga ekonomi. Namun disebabkan penyebaran wabak yang meluas di seluruh dunia termasuk di Arab Saudi sendiri, maka negara berkenaan menangguhkan pelaksanaan ibadah umrah untuk bukan sahaja jemaah dari luar tetapi juga dalam negara bermula pada Februari 2020. Walau bagaimanapun, peluang untuk menunaikan ibadah umrah dibuka semula termasuk untuk jemaah dari luar pada 9 Ogos 2021, iaitu selepas lapan belas bulan ditangguhkan. Hal ini susulan kelancaran musim haji pada tahun 2020.

Pelaksanaan ibadah haji pada tahun 2020 melibatkan jumlah jemaah yang jauh lebih kecil daripada kebiasaan. Dalam hubungan ini, Kementerian Haji dan Umrah Saudi mengenakan syarat tertentu seperti tahap kesihatan dan usia jemaah selain tidak menunjukkan bahawa mereka mempunyai simptom dijangkiti wabak. Menurut pihak berkuasa awam berkaitan statistik bagi Arab Saudi (GASTAT), pada tahun 2019, hampir 2.5 juta jemaah menyempurnakan ibadah haji dan ia melibatkan jemaah dari negara luar yang melebihi 70%.  Sementara itu, 19 juta jemaah menunaikan ibadah umrah sepanjang tahun, iaitu 7.5 juta orang dari luar Arab Saudi. Perhimpunan besar-besaran jelas boleh menimbulkan ancaman terhadap langkah kawalan wabak yang dilaksanakan Arab Saudi selain juga negara asal jemaah apabila mereka kembali ke negara masing-masing selepas menunaikan ibadah haji. Ibadah haji tahun 2021 juga menyaksikan penyertaan jumlah jemaah lebih kecil, iaitu sekitar 60,000 orang dan sekatan terhadap jemaah dari negara luar.

Bagi pelaksanaan ibadah umrah pada tahun 2021/2022, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenakan prosedur operasi standard (SOP) tertentu, termasuklah dos lengkap vaksin setiap jemaah. Imunisasi lengkap membabitkan vaksin keluaran China dikehendaki berserta dos penggalak, iaitu sama ada Pfizer-BioNtech, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson. Di samping itu, jemaah juga perlu memuat naik aplikasi “Tawakkalna dan Eatamarna” selain mematuhi langkah keselamatan  serta pencegahan lain yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi seperti pemakaian pelitup muka sepanjang masa. Aplikasi Tawakkalna yang menyerupai “MySejahtera” mengandungi maklumat peribadi jemaah, termasuk dos lengkap vaksin yang telah diterima. Sementara itu, aplikasi Eatamarna diperlukan untuk memohon kebenaran bersolat, bertawaf dan menunaikan umrah di Masjidil Haram serta memasuki Raudhah.

Kebenaran beribadah yang dipohon melalui aplikasi Eatamarna menjamin kelancaran dan pergerakan jemaah yang jauh lebih baik. Peluang untuk menunaikan solat setiap waktu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dalam kumpulan yang terkawal, bertawaf dengan selesa berhampiran Kaabah, menunaikan umrah lebih daripada sekali dan menziarahi Nabi SAW merupakan nikmat besar tidak terucap. Suasana yang berbeza, tersusun dan penuh adab lebih ketara terutama di Raudhah. Sebagaimana diakui jemaah yang mengunjungi Raudhah sebelum ini, tiada lagi suasana tidak terkawal seperti perebutan dalam kalangan jemaah untuk memasukinya. Begitu juga keadaan tidak tenteram dan tidak selesa untuk jemaah beribadah disebabkan tindakan tertentu jemaah lain. Yang dapat disaksikan dalam kunjungan ke Raudhah baru-baru ini, setiap kumpulan dibawa untuk menziarahi Rasulullah SAW dalam keadaan tertib dan diberikan peluang untuk melaksanakan sebarang bentuk ibadah dalam tempoh yang amat memuaskan, iaitu antara 10-20 minit. Ternyata, suasana tenteram dan tersusun ini benar-benar memenuhi adab terhadap Baginda Nabi SAW. Hal ini menzahirkan salah satu hikmah yang diakibatkan oleh pandemik yang masih diperangi seluruh dunia.

Sungguh mendukacitakan jika diperhatikan peluang keemasan untuk menunaikan umrah dan mengendalikan jemaah dalam situasi luar daripada kebiasaan seolah-olah tidak dimanfaatkan setulusnya oleh sebahagian pihak. Penipuan bahawa vaksin COVID-19 telah diperoleh dan pemilikan sijil vaksinasi palsu jelas merupakan kesalahan akhlak yang dilarang Islam. Aneh sekali kerana kembara rohani yang dilalui bertujuan beribadah kepada Allah SWT, menziarahi Nabi SAW dan mengharapkan ibadah umrah diterima, dicemari ketidakjujuran. Tindakan berkenaan juga jelas bertentangan kaedah fiqh yang melarang kemudaratan ditimbulkan sesama umat Islam.

Dalam hubungan ini, pembohongan yang dilakukan bukan sahaja mendedahkan diri individu terbabit bahkan juga jemaah serta orang lain kepada jangkitan wabak. Hal ini terbukti melalui laporan media yang menyebut bahawa sekitar 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah yang tidak menerima suntikan vaksin. Dalam konteks lebih luas, perbuatan ini mencalar reputasi agama dan juga negara. Selain itu, terdapat insiden yang memperlihatkan ketidakprihatinan agensi umrah untuk memastikan jemaah mereka memiliki aplikasi yang diperlukan. Perbuatan membiarkan jemaah khususnya warga emas yang tidak memiliki kemahiran untuk memuat naik aplikasi berkenaan sehingga terpaksa memohon bantuan pihak lain, menyerlahkan sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan. Kedua-dua situasi ini menzahirkan lenyapnya sifat amanah dan jujur yang sewajarnya lebih-lebih lagi dihidupkan di tanah suci.

Penangguhan sementara ibadah umrah bermula 8 Januari lalu meski disambut dengan kekecewaan oleh jemaah terlibat namun disedari matlamatnya yang lebih utama, iaitu memelihara kesihatan awam dan mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara. Sokongan yang diberikan rakyat seluruhnya pasti kelak akan menjadikan impian puluhan ribu jemaah yang tertunda ketika ini akhirnya menjadi kenyataan. Keinginan dan kerinduan 1.9 bilion umat Islam kepada tanah suci sememangnya tidak dinafikan, terutama bagi mereka yang sudah mengunjunginya apatah pula semasa pandemik. Hal ini dinyatakan oleh Ibn Battutah dalam “Pengembaraan Ibn Battutah” terbitan IKIM, “Antara keajaiban ciptaan Allah SWT ialah Dia membuat hati manusia cenderung dan rindu untuk menziarahi tempat-tempat suci-Nya. Dia juga mengukuhkan cinta tersebut dalam hati mereka sehingga menggenggam seluruh jiwa raga dan tidak dapat berpisah dengan tempat-tempat suci-Nya. Rindu mereka pun membara dan mereka berazam untuk berkunjung semula dalam kesempatan yang lain. Bumi tempat suci yang berkat itu menjadi tumpuan mata dan cinta manusia. Itulah hakikat yang memaparkan kebijaksanaan Allah SWT Yang Maha Tinggi yang membenarkan doa kekasih-Nya, al-Khalil A.S.”

Sumber : https://www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2022/01/28/umrah-semasa-pandemik-nikmat-tidak-terhitung/

Madini Travel & Tours Sdn Bhd 
(1175306-D) (KPK 8370)
73-B, Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Emel : hi@madinitravel.com
Ikuti Kami
Berdaftar
cross linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram