Istilah umrah menurut syarak ialah mengunjungi baitullah untuk mengerjakan ibadah umrah dengan niat dan syarat-syarat tertentu. Menjadi ‘Duyufurrahman’ ataupun ‘tetamu Allah’ adalah impian setiap umat Islam. Kami di Madini Travel & Tours sentiasa bersedia untuk membantu anda menjadi tetamu Allah dengan pakej-pakej umrah yang menarik seperti Seerah, Nurani dan Maulid. Kita seharusnya menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT sekiranya berpeluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah yang penuh dengan barakah dan sejarah. Menurut Imam Nawawi, golongan yang ingin mengerjakan haji dan umrah perlu meninggalkan perkara yang dilarang sebelum menunaikan ibadah tersebut. Peringatan tersebut terdapat dalam karyanya:
“Apabila seseorang itu telah berazam (untuk mengerjakan haji), hendaklah dia memulakan dengan bertaubat dari segala maksiat dan perkara-perkara yang makruh.”
(Rujuk al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah:hlm 48)
Sumber: Laman Sesawang Mufti Wilayah Persekutuan
Adab adalah himpunan akhlak dan kebiasaan yang baik. Oleh itu, terdapat adab-adab yang perlu diamalkan sebelum, semasa dan selepas menunaikan umrah:
- Membetulkan tauhid dan aqidah. Sebagai umat Islam, kita perlu membetulkan tauhid dan aqidah diri berlandaskan ajaran Islam yang sebenar dengan berpandukan al-Quran dan hadis sebelum berangkat menunaikan umrah. Sebaiknya, perbaharuilah iman dan syahadah kita bagi memperoleh keredaan serta rahmat Allah SWT.
“Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap Lailaahaillah.”
(Riwayat Imam Ahmad, No. 8710)
- Niat dengan keikhlasan yang tinggi untuk beribadah kepada Allah SWT. Setiap perkara yang ingin dilakukan mestilah dimulakan dengan niat yang baik dan ikhlas kerana Allah SWT bagi mengelakkan perasaan takbur, riak dan sombong semasa mengerjakan ibadah.
- Bertaubat. Seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi, kita juga perlu bertaubat, meninggalkan maksiat dan hal-hal yang makruh serta melalaikan. Taubat akan menyedarkan kita tentang perkara sia-sia yang telah banyak dilakukan selama ini dan melahirkan rasa rendah diri.
- Selesaikan semua hak kepada Allah. Kita mestilah menyelesaikan segala hak Allah yang tertanggung ke atas diri sendiri seperti zakat, fidyah, nazar atau kaffarah dan lain-lain.
- Selesaikan hak sesama manusia. Kita juga perlu melunaskan hak-hak sesama manusia sekiranya ada. Selain menjaga hubungan dengan Allah SWT, kita hendaklah menjaga hubungan sesama manusia kerana kita banyak berurusan dengan mereka dalam kehidupan seharian. Sebagai manusia yang lalai sudah pasti banyak tingkah laku dan pertuturan kita yang telah mengguris hati orang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lantaran itu kita perlulah meminta maaf sesama insan, melangsaikan hutang sekiranya ada, meninggalkan wang perbelanjaan buat keluarga yang ditinggalkan dan banyak lagi. Hati akan menjadi tenang sekiranya hak-hak sesama insan berjaya ditunaikan.
- Carilah rakan-rakan yang soleh dan amanah supaya dia dapat menjaga apa yang diamanahkan kepadanya dengan sebaik mungkin semasa ketiadaan kita.
- Muhasabah diri. Kita mestilah sentiasa muhasabah diri sepanjang menunaikan ibadah umrah supaya tidak mudah untuk menyalahkan orang lain.
- Bersederhanalah dan tidak berlebih-lebihan dalam semua keadaan agar sentiasa diselimuti ketenangan. Islam telah menjadikan pertengahan bagi setiap perkara yang berkaitan dengan agama dan dunia sebagai keutamaan supaya tidak memberikan kesan buruk kepada diri sendiri dan orang lain.
- Menjaga lisan dan tingkah laku juga adalah adab yang perlu dititikberatkan semasa menunaikan umrah. Kita tidak boleh bicara sesuka hati semasa di Tanah Suci demi menjaga setiap amalan dan ibadah yang dilakukan supaya tidak sia-sia. Elakkan bercerita tentang perkara-perkara yang tidak berasas atau khabar-khabar angin yang tidak sahih kerana boleh menimbulkan fitnah.
- Jaga kebersihan. Kita juga mestilah sentiasa menjaga kebersihan semasa menjalani ibadah umrah. Agama Islam amat mementingkan aspek kebersihan dan kesucian ketika beribadah kerana kita sedang menghadap Allah SWT. Bersiwak atau bersugi adalah salah satu cara menjaga kebersihan diri yang amat dianjurkan dalam Islam.
- Banyakkan berdoa dalam setiap perjalanan bagi memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat seperti berbual-bual kosong, mengumpat dan sebagainya.
Adab-adab ini perlulah diikuti apabila kita telah berniat dan mendaftarkan diri untuk mengerjakan ibadah umrah. Setiap umat Islam yang berpeluang menunaikan umrah hendaklah memanfaatkan peluang ini sebaiknya untuk menginsafi semua dosa dan tingkah laku yang dilakukan selama ini. Sesungguhnya, ibadah umrah ini adalah bentuk pengabdian kita sebagai hamba Allah SWT yang kerdil dan tidak berdaya. Inginkan pengalaman umrah yang berharga? Jom daftar umrah bersama dengan Madini Travel & Tours dan dapatkan pakej-pakej yang berpatutan SERENDAH RM10 980.