Ilmu ialah pengetahuan dalam pelbagai perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain atau kemampuan untuk mengetahui kebenaran tentang sesuatu. Setiap individu akan mengetahui sesuatu perkara dengan lebih mendalam melalui ilmu yang diperoleh. Hal ini membuktikan bahawa proses pemerolehan ilmu adalah suatu bentuk kemajuan diri bagi manusia. Menuntut ilmu adalah salah satu perkara yang dituntut dalam agama Islam. Banyak dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah serta kalam para ulama dan cerdik pandai tentang kelebihan-kelebihan bagi golongan yang menuntut ilmu. Antaranya, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga…”
Allah SWT juga akan meninggikan darjat orang-orang yang berilmu berdasarkan firman-Nya:
“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”
(al-Mujadalah: 11)
Selain itu, kita perlu memelihara adab sebagai penuntut ilmu agar ilmu-ilmu yang diperoleh akan diberkati Allah SWT. Ulama-ulama terdahulu amat menitikberatkan perihal adab serta akhlak antara anak murid dan guru semasa menuntut ilmu. Berikut adalah adab-adab menuntut ilmu yang perlu dilaksanakan oleh setiap penuntut ilmu:
1. IKHLASKAN NIAT
Setiap Muslim perlulah menuntut ilmu dengan niat yang ikhlas dan tidak mengharapkan ganjaran dunia semata-mata. Niat menuntut ilmu mestilah kerana Allah SWT semata-mata dan bukan disebabkan keinginan untuk bersaing sesama manusia atau bermegah dengan pencapaian diri. Kita perlu keluar daripada doktrin pemikiran bahawa proses menuntut ilmu adalah untuk memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Hal ini kerana ilmu adalah sesuatu pengetahuan yang amat luas dan tidak cukup jika sekadar dinilai melalui peperiksaan berdurasi beberapa jam. Oleh itu, kita mestilah mempunyai niat yang ikhlas kerana Allah SWT agar memperoleh keberkatan dalam menuntut ilmu.
2. BERSUNGGUH-SUNGGUH
Kita perlu bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan memanfaatkan setiap waktu dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Bahagikan waktu dengan sebaiknya supaya kebanyakan waktu yang kita miliki adalah untuk menuntut ilmu. Kita juga tidak boleh bersikap sambil lewa semasa belajar kerana ilmu adalah harta yang sangat berharga dan tidak wajar disia-siakan.
3. MENGHORMATI DAN MEMULIAKAN GURU
Guru-guru atau sesiapa sahaja yang telah menyampaikan ilmu kepada kita perlulah dihormati agar ilmu yang diterima memperoleh keberkatan daripada Allah SWT. Kita perlu memelihara tutur kata dan tingkah laku daripada berkata-kata atau melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris hati mereka.
4. SABAR
Sifat sabat perlu ada dalam diri setiap penuntut ilmu kerana proses menuntut ilmu adalah sangat mencabar. Kita perlu melepasi satu peringkat ke peringkat yang lain untuk memenuhi keperluan ilmu tersebut. Sesungguhnya, proses pencarian ilmu adalah proses yang tidak berpenghujung. Oleh itu, kita tidak boleh berasa puas dengan ilmu yang kita miliki kerana sifat ilmu adalah amat luas. Kita perlu bersabar dan jangan berputus asa kerana menuntut ilmu juga adalah satu ibadah.
5. MENGULANGKAJI DAN MENGAMALKAN ILMU
Penuntut ilmu perlu mengulang kaji setiap ilmu yang dipelajari supaya ilmu tersebut kekal dalam ingatan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah dengan berbincang atau mengajar sesama rakan. Ilmu yang diperoleh juga boleh diamalkan kerana ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah.
6. RENDAH DIRI
Semakin banyak ilmu yang kita pelajari bermaksud semakin banyak yang kita tidak ketahui. Jangan memperlekehkan orang lain sekiranya dia tidak tahu tentang sesuatu perkara tetapi berilah tunjuk ajar yang betul kerana kita juga pernah berada dalam situasi tersebut. Sifat sombong, riak dan takbur boleh membinasakan diri sendiri dan dibenci Allah SWT. Oleh itu, didiklah diri kita agar sentiasa merendah diri semasa menuntut ilmu.
Adab dan ilmu adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Peliharalah adab kita sepanjang proses pembelajaran berlangsung terutamanya terhadap guru-guru yang menyampaikan ilmu. Sesungguhnya, proses menuntut ilmu adalah proses yang panjang dan berterusan. Kita tidak seharusnya membataskan ilmu dalam sesuatu bidang sahaja kerana banyak bidang ilmu yang boleh diteroka dan dipelajari. Sebagai umat Islam, kita perlu menyeimbangkan ilmu duniawi dan ukhrawi seperti mendalami ilmu agama, memperbaiki bacaan al-Quran dan mempelajari bahasa Arab. Ilmu-ilmu sebegini boleh dipelajari melalui kursus-kursus insentif yang sesuai dengan kelapangan waktu kita.
Nak belajar bahasa Arab dan menghayati al-Quran sambil bercuti? Jom daftar Program Intensif Quran dan Bahasa Arab (IQRAB) bersama-sama Madini Travel & Tours! Anda akan merasai suasana program yang berasaskan Tarbiah Islamiah bersama dengan barisan Masyaikh dan asatizah yang berwibawa di lokasi pembelajaran yang tepat. IQRAB adalah pilihan yang tepat jika anda ingin menimba ilmu sambil melancong. Segera hubungi kami untuk pendaftaran dan maklumat lanjut!