Seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah bersaudara. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya).”
(Riwayat Muslim)
Allah SWT juga berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu: dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah al-Hujurat: 10)
Oleh sebab itu, umat Islam perlulah berkasih sayang dan menghormati antara satu sama lain. Amalan menziarahi saudara-mara atau sesiapa yang kita kenali adalah antara amalan yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama insan dan amat dituntut dalam Islam. Walau bagaimanapun, ramai individu yang masih kurang menjaga tingkah laku semasa ziarah. Terdapat beberapa adab yang perlu dititikberatkan semasa menziarahi seseorang atau tempat.
1. BERNIAT BAIK
Setiap perkara yang kita ingin lakukan hendaklah dimulakan dengan niat yang baik. Kita mestilah berniat dengan ikhlas untuk berziarah kerana Allah SWT tanpa mempunyai niat yang terselindung. Ziarah mempunyai banyak kebaikan seperti mendekatkan hubungan yang renggang, mengukuhkan ukhuwah dan sebagainya. Oleh itu, kita tidak boleh mencemarinya dengan niat yang tidak baik seperti bertujuan untuk mengumpat, menunjuk-nunjuk dan berlagak dengan pencapaian terkini atau merendahkan orang lain. Perkara sebegini akan menjejaskan hubungan silaturahim sesama kita.
2. MEMBERI SALAM
Sebelum masuk ke mana-mana tempat yang ingin dikunjungi, berilah salam sebagai tanda kehadiran kita di situ. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kami, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya: yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).”
(Surah an-Nur: 27)
3. PAKAI PAKAIAN YANG SESUAI
Selain menjamin keselesaan diri, pakaian juga berupaya mencerminkan keperibadian seseorang. Sebagai umat Islam, pakailah pakaian yang sopan dan menutup aurat semasa berziarah sesuai dengan tuntutan agama Islam.
4. MENJAGA PANDANGAN DAN TINGKAH LAKU
Kita perlu memelihara pandangan dan tingkah laku sebagai tanda menghormati tuan rumah. Peliharalah pandangan daripada melihat-lihat isi rumah kerana dikhuatiri kita akan menilai atau membandingkannya dengan perkara yang tidak sepatutnya. Jangan berlegar-legar di kawasan yang tidak sepatutnya bagi mengelakkan timbulnya masalah, salah faham atau ketidakselesaan antara tetamu dan tuan rumah.
5. MENJAGA PERCAKAPAN
Setiap tutur kata mestilah dikawal agar perkara-perkara yang dibicarakan adalah bermanfaat dan baik isinya. Tujuannya adalah supaya kita dapat mengelakkan diri daripada melontarkan kata-kata yang mampu mengguris hati orang lain sehingga menimbulkan perbalahan. Percakapan yang baik juga adalah sebagai tanda menghormati diri dan tuan rumah.
Ziarah bukan sahaja tertumpu kepada melawat saudara-mara atau rakan-taulan tetapi juga termasuk tempat-tempat bersejarah dalam Islam seperti Makam Nabi Muhammad SAW, Masjid Quba’, Taif, Jabal Rahmah dan sebagainya. Adab-adab ziarah ini juga terpakai semasa berkunjung ke tempat-tempat sebegini kerana kita berada di tanah suci umat Islam. Aktiviti ziarah sepatutnya menjadikan kita seorang yang rendah diri dan membentuk peribadi yang lebih baik.
Berniat ingin menziarahi tempat-tempat bersejarah di Mekah dan Madinah? Madini Travel & Tours menawarkan Ziarah Rare melalui Pakej Umrah Nurani dan Maulid. Anda akan dibawa menziarahi Masjid Ijabah, Masjid Bani Hunaif, Telaga Iziq, Telaga Salman, Jabal Rahmah dan banyak lagi. Pakej-pakej ini juga dilengkapi dengan pengisian bermodul yang kondusif. Segera hubungi kami untuk maklumat lanjut!
Assalamualaikum.
Tekan untuk hubungi pegawai kami