AIR ZAMZAM DAN KEUTAMAANNYA

Air zamzam telah ditemui pada zaman Nabi Ismail AS iaitu semasa Nabi Ibrahim AS meninggalkannya dengan ibunya, Siti Hajar di lembah yang tidak berpenghuni. Tiada sumber air dan tumbuh-tumbuhan di Mekah pada waktu tersebut. Nabi Ibrahim AS hanya membekalkan mereka dengan sebekas air dan seikat kurma. Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim AS supaya meninggalkan zuriatnya di lembah Mekah. Firman-Nya: 

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” 

(Surah Ibrahim: 37)

Siti Hajar telah menyusukan Nabi Ismail AS dan meminum air daripada bekas yang dibawa sehingga akhirnya air tersebut habis. Hal ini menyebabkan kedua-duanya merasa kehausan kerana tiada lagi air yang boleh diminum. Siti Hajar juga menjadi cemas apabila Nabi Ismail AS terus menangis. Beliau telah pergi ke Bukit Safa kerana bukit tersebut adalah yang paling hampir dengannya. Siti Hajar berdiri di atas bukit tersebut dengan harapan untuk melihat seseorang tetapi tiada sesiapa pun di situ. Beliau turun dari Bukit Safa dan setibanya di lembah, Hajar mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras hingga sampai lembah dan mendaki sebuah bukit iaitu Bukit Marwah. Hajar berdiri di atas bukit tersebut sambil melihat sekiranya terdapat seseorang di sana namun masih tiada sesiapa. Beliau berulang-alik antara dua bukit tersebut sehingga tujuh kali. Menurut Ibnu Abbas, Nabi Muhammad SAW bersabda: 

“Itulah sai yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu.” 

Semasa Hajar berada di puncak Bukit Marwah, beliau diam apabila terdengar satu suara. Beliau cuba mendengarnya lagi dan suara itu tetap didengarinya lalu Hajar berkata: 

“Engkau telah memperdengarkan suaramu. Apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”

Ternyata suara tersebut ialah malaikat Jibril yang berada berhampiran dengan tempat zamzam. Dengan tumitnya (atau dengan sayapnya seperti yang disebutkan dalam riwayat lain), Jibril mengais tanah sehingga terkeluarlah air.

Antara kelebihan air zamzam yang terdapat dalam beberapa hadis ialah: 

  • Air zamzam merupakan air terbaik di dunia dan penawar bagi penyakit. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: 

“Air yang paling baik di muka bumi adalah air zamzam. Ia mengandungi khasiat dan menyembuhkan penyakit…” 

(Hadis Riwayat al-Thabrani) 

  • Air zamzam boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya. 

Daripada Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Padanya (air zamzam) terdapat makanan yang mengenyangkan” 

[Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)]

  • Malaikat Jibril AS mencuci hati Rasulullah SAW menggunakan air zamzam

Diriwayatkan daripada Abu Zar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Maka Jibril AS turun lalu membelah dadaku, kemudian dia (Jibril) mencucinya dengan air zamzam”

[Riwayat al-Bukhari (1636)]

Berdasarkan hadis-hadis di atas, Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita tentang keutamaan dan khasiat air zamzam yang diberkati Allah SWT. Minumlah air zamzam sebanyak mungkin jika anda berpeluang untuk menunaikan umrah kerana Arab Saudi telah menyediakan banyak botol air zamzam di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Abadikan perjalanan rohani anda bersama-sama Madini Travel. Kami menawarkan pakej-pakej umrah yang padat dengan pengisian bermodul, tiga kali ziarah percuma di Mekah serta Masjid Quba’ dan banyak lagi. Hubungi kami untuk tempahan!

Madini Travel & Tours Sdn Bhd 
(1175306-D) (KPK 8370)
73-B, Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Emel : hi@madinitravel.com
cross linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram