fbpx
Hukum Umrah

Adakah Anda Mengetahui Hukum Umrah?

HUKUM UMRAH

Bismillah. InsyaAllah kali ini kami memfokuskan tentang apakah hukum umrah? Kebanyakan daripada kalangan kita mempunyai semangat berkobar-kobar untuk melaksanakannya tetapi tidak mengetahui hukum umrah itu sendiri dan cara melaksanakannya. Ya bersemangat tidak mengapa lebih-lebih lagi apabila diselit dengan rasa cinta dan rindu kepada bumi haramain (Mekah dan Madinah) amatlah digalakkan dalam Islam. Namun semua itu memerlukan kepada ilmu dan ilmu itu hendaklah dipelajari dengan berguru.

DEFINISI UMRAH

Sebelum memasuki perbahasan, terlebih dahulu mari lihat apakah definisi umrah itu sendiri. Menurut bahasa bererti ziarah. Menurut syarak pula, berdasarkan kitab Taqrirat As-Sadidah bermaksud:

زيارة بيت الله الحرام للنسك

“Ziarah Masjidil Haram untuk melakukan ibadat”

Perbuatan ziarah ke Masjidil Haram itu bukanlah semata-mata ziarah yang difahami ziarah untuk pergi, lihat suasana disana tetapi perbuatan ziarah itu mesti disertai dengan ibadat tertentu seperti berniat ihram, tawaf, sa’ie dan bertahallul (cukur rambut).

HUKUM MENUNAIKAN UMRAH

Bagi menerangkan perkara ini, saya menaqalkan mengikut keseluruhan mazhab yang empat yang mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali. Kemudian saya meletakkan hujah atau dalil yang digunakan oleh para Imam Mazhab yang empat dan akhirnya saya membuat sedikit kesimpulan. Mazhab Syafi’i dan Hanbali mengatakan umrah itu wajib manakala Mazhab Hanafi dan Maliki menurut mereka adalah sunat

.

MAZHAB SYAFI’I DAN HANBALI

Permasalahan mengenai hukum menunaikan umrah ini, kata Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari didalam kitabnya Sabilal Muhtadin:

“Bermula Haji dan Umrah itu fardhu (ain) keduanya lagi maklum ia daripada pekerjaan ugama Islam dengan dhoruri maka barangsiapa ingkar akan fardhunya (haji dan umrah itu) jadilah ia kafir”

Hukum Umrah
Sabilal Muhtadin karya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah Al-Banjari

Betapa hukum umrah itu adalah sama hukumnya dengan haji yakni fardhu ain disisi Mazhab Syafi’i. Ianya tidak dapat tidak mestilah diketahui oleh semua orang. Ingkar kepada perkara yang wajib yakni menolak akan kefardhuannya maka kafir hukumnya seperti mana dia mengatakan jika solat itu tidak wajib maka jika ingkar akan wajibnya solat, dia menjadi kafir

Mazhab Hanbali juga berpendapat sedemikian, bahawa hukum umrah itu sama seperti haji iaitu wajib. Ini adalah berdasarkan mereka meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib, Ibnu Umar dan Ibnu Abbas.

HUJJAH DAN DALIL MAZHAB SYAFI’I DAN HANBALI

1. Dalil Al-Quran:

واتموا الحج والعمرة لله

“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah”

Berdasarkan ayat ini, Allah menyuruh kepada kita untuk menyempurnakannya yakni mendatangi Mekah untuk perbuat akan ini ibadat umrah secara sempurna. Dan lafaz اتموا menunjukkan wajib.

2. Sabit daripada Hadis Nabi

2.1. Hadis diriwayatkan oleh Imam As-Syaukani

ما ثبت عنه  (صلى الله عليه وسلم) في الصحيح, أنه قال لأصحابه: من كان معه هدي فليهل بحجة وعمرة

 

2.2. Hadis diriwayatkan Imam Muslim

قال: دخلت العمرة في الحج إلى يوم القيامة

 

MAZHAB MALIKI DAN HANAFI

1. Dalil Al-Quran

وأذن في الناس بالحج (Surah Al-Hajj:27)

“Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji”

2. Mereka (Hanafi dan Maliki) mengatakan bahawa hadis-hadis sahih yang dengannya diistinbathkan hukum, tiada langsung menyebut tentangnya. Ini menunjukkan umrah bukanlah fardhu tapi ia adalah bertentangan dengan haji yakni ianya adalah sunat.

3. Berdasarkan hadis Nabi SAW, diriwayatkan oleh Ibnu Syaibah, Ibnu Majah

الحج جهاد والعمرة تطوع

“Haji itu jihad dan umrah itu adalah sunat”

 

KESIMPULAN

Setelah meneliti kesemua dalil serta hujjah yang diberikan oleh keempat-empat mazhab, ternyatalah ilmu fiqh ini luas dan ianya boleh berubah kerana ianya bersifat zanni bukan qat’ie. Terus terang kami mengatakan bahawa pentarjihan bukanlah dibidang kuasa kami kerana kami tidak layak untuk memberikan tarjih namun kami naqal daripada Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni didalam kitabnya Rawai’ul Bayan tafsir Ayat Al-Ahkam min Al-Quran, beliau mengatakan pandangan Mazhab Hanafi dan Maliki adalah yang paling Rajih. Namun sedikit komentar daripada kami, walaupun ianya rajih namun kita berada dilingkungan negara yang bermazhab Syafi’i dimana Mufti dan undang-undangnya bermazhab Syafi’i maka seeloknya kita beramal dengan Mazhab Syafi’i kerana ada Kaedah Fiqhiyyah mengatakan “mazhab orang awam adalah mazhab muftinya”. 

Hukum Umrah
Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni

(Sumber: http://zulhusnimatresat.blogspot.my/2014/02/syeikh-muhammad-ali-as-sabuni.html)

Sekian daripada kami, terima kasih.

Rujukan:

  1. Sabilal Muhtadin, Sheikh Muhammad Arsyad Bin Abdullah Al-Banjari, Maktabah Al-Hudhudi
  2. Rawai’ul Bayan tafsir Ayat Al-Ahkam min Al-Quran, Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni, Dar As-Sobuni
  3. Taqrirat As-Sadidah, Habib Hassan bin Ahmad bin Muhammad Al-Kaff, Habib Zain bin Ibrahim bin Sumait (muhaqqiq), Darul Mirath An-Nabawi

والله اعلم بالصواب

Ditulis oleh Muhammad Amir Ashraf http://madinitravel.com

Dikuasakan oleh Madini Travel & Tours Sdn Bhd.