10 PANTANG LARANG UMRAH
Entri sebelum ni adalah tentang pantang larang umrah yang dikhususkan ke atas lelaki dan perempuan. Sambungan entri kali ini adalah 10 pantang larang umum yang terpakai ke atas kedua-duanya.
1. Pakai sarung tangan
- Tangan boleh dilindungi di sebalik kain tudung atau ihram tetapi tidak boleh menutupi keseluruhannya.
2. Memakai wangi-wangian
- Jemaah yang berada dalam ihram umrah boleh menggunakan ubat gigi, sabun mandi, syampu dan minyak angin. Tujuan penggunaannya bukanlah untuk berwangi-wangian tetapi menjaga kebersihan.
- Kita perlu menghilangkan kesan bau-bauan wangi yang dipakai atau dihidu secara sengaja atau tidak sengaja apabila tersedar atau ditegur oleh orang lain. Begitu juga sekiranya orang lain mencalit atau menyembur wangi-wangian tanpa kerelaan kita.
- Jemaah perlu berhati-hati semasa hendak mengucup Hajarul Aswad dalam ihram umrah kerana dikhuatiri ia dilumur dengan minyak wangi. Haram ke atasnya mencium Hajarul Aswad jika diketahui ia dilumuri minyak wangi. Minyak wangi tersebut perlu segera dihilangkan jika dia mencium Hajarul Aswad dalam keadaan tidak mengetahui ia dilumuri wangian.
- Haram memakai semula kain ihram yang disapu minyak wangi setelah ditanggalkan daripada badan dan akan dikenakan dam.
- Kelambu Kaabah juga dilumuri minyak wangi maka jemaah yang berada dalam ihram umrah atau haji perlu berhati-hati semasa merapatkan badan ke dinding Kaabah supaya tidak menghidu wangian tersebut.
- Wanita yang memakai tuala wangian (herba sahaja) dengan tujuan kebersihan dan bukannya untuk berwangi-wangian adalah tidak berdosa dan tidak akan dikenakan dam.
3. Pakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka selain yang tumbuh di pipi dan dahi
- Jemaah yang terlupa atau tidak sengaja memakai minyak pada bahagian badan yang tidak dibenarkan perlu menghilangkannya dengan segera apabila teringat dan ditegur.
- Jemaah dibenarkan memakai losen pelindung matahari dengan syarat losen tersebut tidak berbau wangi.
4. Menanggalkan rambut atau bulu daripada mana-mana anggota badan
- Jemaah yang terlupa, sengaja atau tidak sengaja menanggalkan rambut atau bulu semasa dalam ihram tetap dikenakan dam.
- Jika jemaah dalam ihram umrah menggugurkan rambutnya dengan cara menggosok-gosokkan rambut semasa mandi atau berwuduk tetap wajib membayar dam tetapi tidak berdosa meskipun rambutnya jenis mudah gugur. Rambut yang gugur dengan sendiri tidak akan dikenakan dam.
- Dam tidak akan dikenakan kepada jemaah yang berada dalam ihram umrah dan mendapati rambut atau bulunya gugur di atas bantal atau tilam semasa bangun tidur. Begitu juga dengan keadaan jemaah wanita yang rambutnya gugur dalam anak tudung semasa dia menanggalkannya.
5. Mengerat atau memotong kuku
- Mengerat atau memotong kuku secara sengaja, tidak sengaja atau terlupa semasa dalam ihram umrah tetap perlu membayar dam. Berdosa jika sengaja melakukannya namun tidak berdosa sekiranya tidak sengaja atau terlupa.
- Kuku yang tertanggal sendiri tidak akan dikenakan dam. Bukan itu sahaja, kuku yang mengganggu keadaan seperti kuku yang pecah kerana tersepit sesuatu juga boleh dicabut.
- Kulit bibir, tangan dan kaki yang mengelupas harus dicabut tanpa dikenakan dam.
6. Potong/tebang/cabut/kerat pokok-pokok di Tanah Haram Mekah
- Pengharaman ini adalah berkait dengan pantang larang yang tidak boleh dilakukan semasa di Tanah Haram dan tidak berkait dengan keadaan seseorang semasa dalam ihram umrah atau haji.
7. Memburu binatang buruan darat yang halal dimakan atau membinasakannya di Tanah Halal atau Haram.
- Larangan ini tidak termasuk menangkap ikan yang hidup sama ada di dalam kolam, sungai atau laut.
- Sekiranya anda tidak sengaja memijak seekor belalang sehingga mati, anda tetap wajib membayar dam berdasarkan nilai belalang tersebut.
- Nyamuk, lalat dan labah-labah harus dibunuh tanpa dikenakan dam sekiranya serangga-serangga tersebut mengganggu anda.
- Menurut mazhab Syafie, binatang buruan yang dimiliki di Tanah Halal seperti rusa, kijang, burung merpati, arnab dan sebagainya wajib dilepaskan sebelum berniat ihram.
8. Melakukan pendahuluan persetubuhan
9. Bersetubuh
10. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin
Peliharalah diri kita daripada melakukan larangan-larangan ini semasa menyempurnakan ibadah umrah agar setiap ibadah diterima Allah SWT. Berada di Tanah Suci seharusnya mendidik kita untuk berjiwa hamba kerana tiada yang melebihi keesaan Allah SWT. Umrah bersama Madini Travel & Tours adalah suatu perjalanan yang penuh dengan penghayatan. Hubungi kami untuk tempahan pakej umrah yang menarik seperti Pakej Seerah, Nurani dan Maulid. Jangan ketinggalan!