Mekah, Madinah dan Baitulmaqdis merupakan tiga kota suci bagi umat Islam. Banyak dalil yang menunjukkan tentang kesucian bandar-bandar ini. Bukan itu sahaja, ketiga-tiga tempat ini juga telah mencatatkan pelbagai peristiwa bersejarah dalam tamadun Islam.
MEKAH AL-MUKARRAMAH
Mekah merupakan kota kelahiran dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Sebelum Islam menguasai Mekah, tempat ini berfungsi sebagai pusat penyembahan berhala dan amalan-amalan tradisi lain dalam masyarakat Arab jahiliah. Pembukaan kota Mekah berlaku pada bulan Ramadan tahun kelapan hijrah. Peristiwa ini berlaku kerana kaum musyrikin Quraisy di Mekah telah mengkhianati Perjanjian Hudaibiyah yang telah termeterai. Setelah Nabi Muhammad SAW menyusun strategi sulit, Baginda SAW masuk ke kota Mekah dari Dzu Tuwa dengan menunggang unta. Jaminan keselamatan telah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada penduduk Mekah sama ada mereka masuk ke rumah masing-masing, Masjidil Haram atau ke rumah Abu Sufian. Rasulullah SAW telah melakukan beberapa perkara setelah kota Mekah dibuka seperti memusnahkan semua berhala yang berada di sekeliling Kaabah. Baginda SAW juga melakukan tawaf di Kaabah dan berucap di hadapan orang ramai berkaitan kebebasan dan kemaafan yang diberikan kepada kaum Musyrikin Quraisy.
Kini, Mekah adalah destinasi yang sering dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh dunia bagi menunaikan ibadah haji atau umrah. Bandar ini telah menyaksikan pertemuan jutaan umat Islam daripada pelbagai latar belakang dan negara yang ingin beribadah kepada Allah SWT. Jelaslah bahawa Mekah merupakan tempat yang sangat istimewa berbanding tempat-tempat lain di dunia. Sabda Nabi Muhammad SAW:
“Demi Allah! Sesungguhnya engkau (Mekah) ialah bumi Allah SWT yang paling baik dan tanah yang paling dicintai Allah, sekiranya aku tidak diusir darimu,nescaya aku tidak akan tinggalkan (tempat ini, iaitu Mekah).”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah)
MADINAH AL-MUNAWWARAH
Nama asal Madinah ialah Yathrib. Bandar ini telah menyaksikan peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW bersama dengan para sahabat. Hijrah tersebut dilakukan atas perintah Allah SWT. Rasulullah SAW telah menempuh pelbagai cabaran semasa proses hijrah tersebut. Kecintaan Nabi Muhammad SAW terhadap Madinah dapat dilihat daripada doa-doa Baginda SAW. Antara doa Rasulullah SAW ialah:
“Ya Allah! Berilah kami kecintaan terhadap Madinah seperti cinta kami terhadap Makkah atau melebihinya.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
BAITULMAQDIS
Firman Allah SWT:
(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya): dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat).”
(Surah al-Maidah: 21)
Bandar ini telah menyaksikan kehidupan dan peristiwa yang berlaku terhadap nabi-nabi seperti Nabi Musa AS, Nabi Sulaiman AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Peristiwa Israk dan Mikraj adalah perjalanan agung Nabi Muhammad SAW yang berlaku di sini. Perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram berakhir di Masjid al-Aqsa sebelum diangkat ke langit untuk bertemu Allah SWT. Rasulullah SAW telah menerima perintah daripada Allah SWT iaitu semua umat Islam wajib menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Masjid al-Aqsa merupakan kiblat pertama bagi umat Islam sebelum Allah SWT memerintahkan agar kiblat ditukarkan menghadap ke Masjidil Haram di Mekah. Bukan itu sahaja, kota ini juga digelar sebagai al-Quds al-Sharif iaitu tempat yang suci.
Sebagai umat Islam, kita perlu berazam untuk menziarahi ketiga-tiga kota suci ini. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalanan ke tiga destinasi iaitu al-Masjid al-Haram, masjidku (al-Masjid al-Nabawi) dan al-Masjid al-Aqsa.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Telusuri tempat-tempat bersejarah di Mekah, Madinah dan Baitulmaqdis bagi menghayati ibrah daripada setiap peristiwa yang berlaku. Abadikan perjalanan rohani anda melalui pakej Kembara Sirah al-Aqsa dan Jordan bersama dengan Madini Travel. Perkongsian menarik sepanjang aktiviti ziarah akan disampaikan oleh Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre dan Ustaz Zul Ramli M Razali. Selain Kembara Sirah, kami juga menawarkan pakej Umrah Seerah dan Nurani. Rebut peluang keemasan ini bersama dengan Madini Travel! Segera hubungi kami untuk maklumat lanjut dan pendaftaran!