Baitulmaqdis merupakan kota suci bagi umat Islam selain Mekah dan Madinah. Al-Quran telah menyeru Palestin sebagai tanah yang berkait dengan kehidupan para nabi dan rasul. Allah menyebut Palestin sebagai “al-Ard al-Muqaddasah” dalam ayat ke-21 Surah al-Ma’idah yang bermaksud tanah yang suci. Sekelilingnya pula digelar sebagai “barakna Hawlaha” dalam ayat pertama Surah al-Israa’ iaitu yang diberkati sekitarnya.
Allah SWT berfirman:
“(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah Untuk kamu (memasukinya): dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat).”
(Surah al-Maidah: 21)
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari di Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Israa’: 1)
Kehidupan dan setiap kerja para nabi serta utusan Allah SWT telah disaksikan oleh Baitulmaqdis kerana di sinilah Allah SWT berulang-ulang menurunkan wahyu. Keterkaitan Baitulmaqdis dan nabi-nabi seperti Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS serta Nabi Isa AS menjadikan kota ini sebagai kota yang penting dan suci dalam Islam. Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS telah menjadikan Baitul Maqdis sebagai pusat penyebaran agama bagi penduduk Israel kira-kira pada tahun 900 sebelum Masihi.
Selain itu, Baitulmaqdis juga adalah tempat yang istimewa dalam hidup Nabi Muhammad SAW kerana peristiwa Israk dan Mikraj telah berlaku di sini. Peristiwa ini berlaku kira-kira satu setengah tahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke ke Madinah dari Mekah. Israk dan Mikraj merupakan perjalanan agung Rasulullah SAW. Malaikat Jibril telah mengiringi Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Baitulmaqdis dengan menunggang Buraq dan diangkat ke langit. Baginda SAW turun semula ke Baitulmaqdis setelah menerima perintah Allah SWT yang mewajibkan umat Islam untuk menunaikan solat sebanyak lima kali sehari semalam. Nabi Muhammad SAW pulang ke Mekah bagi menyampaikan perintah ini kepada umat Islam dan menjadikan Baitulmaqdis sebagai kiblat pertama semasa menunaikan solat. Umat Islam di Madinah juga menunaikan solat berkiblatkan Baitulmaqdis selama lebih kurang 17 bulan setelah peristiwa hijrah berlaku. Baitulmaqdis juga dikenali sebagai ‘Ula al-Qiblatain iaitu yang pertama antara dua kiblat kerana Allah telah memerintahkan agar kiblat ditukar dari Baitulmaqdis ke Mekah.
Nabi Muhammad SAW juga sangat menggalakkan umat Islam untuk menziarahi dan menunaikan solat di Masjid al-Aqsa. Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalan ke tiga destinasi iaitu al-Masjid al-Haram, masjidku (al-Masjid al-Nabawi) dan al-Masjid al-Aqsa.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas menjelaskan bahawa ketiga-tiga masjid ini mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tidak dimiliki oleh masjid lain. Sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan kesucian ketiga-tiga masjid ini daripada segala perbuatan jahat.
Sejarah Islam dan peristiwa yang berlaku di Baitulmaqdis sudah pasti dapat dihayati dengan lebih dekat sekiranya kita berpeluang untuk berkunjung ke sana. Madini Travel & Tours menawarkan pakej Kembara Sirah al-Aqsa dan Jordan dengan harga mampu milik. Banyak tempat yang akan diziarahi semasa di al-Aqsa antaranya ialah Kompleks Masjid al-Aqsa, Makam Nabi Musa AS, Makam Nabi Daud AS, Makam Nabi Ibrahim AS dan keluarga serta lawatan ke kawasan lama seperti Perkampungan Muslim, Kristian, Armenian dan Yahudi. Jom bersama-sama kami mendekati saudara-saudara Islam kita di Palestin yang turut disertai oleh Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre dan Ustaz Zul Ramli M Razali. Segera hubungi kami untuk tempahan dan maklumat lanjut!