KARYA-KARYA INDAH HAMKA

“Jangan takut jatuh kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.” - HAMKA 

Kata-kata hikmah di atas adalah daripada Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) iaitu seorang ulama dan penulis dari Indonesia yang amat berpengaruh. Beliau dilahirkan pada 17 Februari 1908 di Maninjau Sumatera Barat, Indonesia. Ibunya bernama Sitti Shafiyyah manakala bapanya ialah Haji Karim Amrullah, seorangulama besar di daerah Minangkabau. 

Ketika berusia enam tahun, Hamka telah mengikuti ayahnya ke Padang Panjang untuk bersekolah. Hamka bersekolah di sekolah desa pada sesi pagi manakala beliau akan mengaji al-Quran bersama dengan ayahnya pada waktu malam. Beliau juga mempelajari ilmu dengan beberapa orang guru lain. Hamka telah berhijrah ke Tanah Jawa untuk menuntut pelbagai bidang ilmu bersama-sama para ilmuwan besar Indonesia seperti H. Fakhruddin dan Ki Bagus Hadikusumo semasa berumur 16 tahun. Pada usia 19 tahun pula, Hamka telah ke Mekah untuk mendalami ilmu dalam dalam bidang agama, bahasa Arab sekaligus menunaikan haji. 

Tokoh ternama ini telah menghasilkan banyak karya kerana kecintaannya terhadap ilmu dan bidang penulisan. Si Sabariah merupakan karya pertama Hamka yang dihasilkan pada tahun 1928. Novel ini adalah tentang dilema seorang wanita yang perlu memilih sama ada bercerai dengan suaminya iaitu Pulai atau memutuskan hubungan kekeluargaan dengan Sariaman iaitu ibunya. Sabariah adalah seorang isteri yang setia dan amat mencintai suaminya. Dia menolak permintaan ibunya yang berkeras agar mereka bercerai. Sabariah tetap menunggu kepulangan Pulai yang sedang merantau walaupun hidupnya miskin. Dia tetap menyambut suami yang dirindui meskipun Pulai pulang tanpa sebarang harta. Kehadiran Suman iaitu seorang pemuda kaya menjadikan ibu Sabariah tetap ingin memujuknya agar berpisah dengan Pulai. Sepasang suami isteri yang saling menyayangi antara satu sama lain hampir bercerai disebabkan salah satunya berstatus ‘orang luar’ dan miskin harta. Namun begitu, sekiranya seseorang datang daripada suku yang sama dan tinggi keturunannya, dia hanya perlu bersedia untuk menjadi menantu kesayangan ibu mertua. 

Selain itu, Tafsir al-Azhar adalah karya agung Hamka. Beliau telah menyusun tafsir al-Quran dengan menggunakan beberapa metode seperti tahlili, tafsir al-Quran dengan al-Quran, tafsir al-Quran dengan hadis dan beberapa metode lain. Tafsir yang ditulis dalam bahasa Melayu ini dapat memudahkan masyarakat dalam rumpun Melayu untuk membaca dan mendalami Islam. Hamka telah melengkapkan tafsir ini semasa beliau berada di penjara atas tuduhan terlibat dengan unsur-unsur pengkhianatan negara walaupun tiada usul periksa dan bukti-bukti yang nyata. .

Seterusnya, karya Di bawah Lindungan Ka’bah adalah karya fenomenal Hamka lebih-lebih lagi setelah kisah ini difilemkan. Kisah ini adalah tentang perasaan cinta antara Hamid dan Zainab yang tidak terungkap kerana takut akan halangan darjat. Hamid semakin berat hati untuk meluahkan perasaannya apabila ibu Zainab memintanya untuk memujuk Zainab supaya berkahwin dengan pilihan keluarganya. Bagi merawat hatinya, Hamid telah pergi ke Mekah. Hamid hanya mengirimkan sepucuk surat yang mengandungi perasaan sebenarnya terhadap Zainab semasa dia berada di Medan. Zainab menyedari bahawa perasaannya terhadap Hamid bukan sekadar hubungan antara abang dan adik apabila Hamid meninggalkan kampung mereka. Walau bagaimanapun, semuanya sudah terlambat ketika kedua-duanya mengetahui bahawa mereka saling mencintai.  

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck adalah karya kedua yang difilemkan dan menjadi fenomenal. Novel ini mengisahkan tentang kisah cinta Zainuddin dan Hayati yang terhalang akibat adat Minangkabau yang mengutamakan serta memandang tinggi keturunan dan kekayaan seseorang. Saudara-mara Zainuddin tidak menerimanya kerana hidupnya yang miskin. Hubungan antara Zainuddin dan Hayati akhirnya terkandas kerana keluarga Hayati amat berpegang teguh terhadap adat Minang. Karya ini sarat dengan kritikan sosial terhadap orang Minangkabau yang terlalu mementingkan adat sehingga menjadikan darjat dan keturunan seseorang sebagai isu yang besar.

Antara karya-karya beliau yang lain ialah Falsafah Hidup, Merantau ke Deli, Tasawuf Moden, Tuan Direktur dan banyak lagi. Karya-karya agama beliau amat menghormati kemuliaan  Allah SWT dan Rasulullah SAW manakala novel-novelnya sarat dengan nilai-nilai insani serta kritikan sosial yang membina dan bukan sekadar naratif semata-mata. 

Anda pencinta karya-karya hamka? Jom jalan-jalan ke Bukittinggi dengan Aku & Travel bersama-sama Madini Travel & Tours. Pakej 4 hari 3 malam yang kami tawarkan adalah termasuk lawatan ke Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka di Kampung Sungai Batang. Air Terjun Lembah Anai, Jambatan Sitti Nurbaya, Pantai Padang dan banyak lagi tempat menarik menanti anda. Hubungi kami dan daftar segera dengan pakej serendah RM 1,790!

Madini Travel & Tours Sdn Bhd 
(1175306-D) (KPK 8370)
73-B, Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Emel : hi@madinitravel.com
cross linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram