fbpx

Hati-hati sindiket Umrah

KUALA LUMPUR 18 Jun – Mengaku sebagai ejen syarikat pengendali pakej umrah dan menawarkan harga murah luar biasa dengan purata RM3,000 hingga RM5,000 setiap orang adalah antara modus operandi yang digunakan sindiket penipuan umrah menyebabkan lebih 1,000 jemaah tertipu sejak tahun 2014 sehingga bulan lalu.

Dalam tempoh 29 bulan itu, sebanyak 111 kes telah dilaporkan di seluruh negara melibatkan kerugian RM4.8 juta oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (JSJK).

Dianggarkan setiap kes yang dilaporkan melibatkan purata 10 jemaah menjadi mangsa.

Kes tertinggi dicatatkan di Selangor iaitu sebanyak 32 kes dengan jumlah kerugian RM1.3 juta diikuti Perak yang merekodkan 19 kes (RM255,780).

Bagaimanapun, Terengganu yang hanya merekodkan sebanyak lapan kes tetapi dengan jumlah kerugian yang lebih tinggi berbanding Selangor dan Perak iaitu RM1.6 juta.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Senior Asisten Komisio­ner Roslan Abd. Wahid berkata, sindiket menawarkan pakej tersebut melalui internet dan laman sosial seperti Facebook dengan menggunakan nama syarikat palsu yang kononnya didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut beliau, kebanyakan mangsa terpedaya dengan harga pakej ditawarkan sindiket yang jauh lebih murah berbanding syarikat lain namun tidak menyedari pakej itu sebenarnya tidak wujud.

Ujarnya, sindiket juga menyamar sebagai wakil syarikat perkhidmatan umrah yang terkenal bagi meyakinkan dan mengaburi mangsa sehingga tertipu.

“Sindiket juga mungkir janji dengan memberikan pakej berbeza serta tidak setimpal dengan bayaran yang dibuat mangsa. Contohnya, mangsa sepatutnya mengerjakan umrah selama 12 hari tetapi hanya dapat melaksanakan selama tujuh hari sahaja.

“Ada juga di antara mangsa yang hanya menyedari ditipu setelah tiba di lapangan terbang untuk berlepas dan pulang hampa kerana ejen terbabit tidak muncul-muncul,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Roslan, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi menangani serta membanteras penipuan melibatkan pakej umrah di negara ini agar tiada lagi mangsa yang terpedaya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-umrah-palsu-tipu-rm4-8j-juta-1.344317#ixzz4tg0yvkqH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dikuasakan oleh Madini Travel & Tours Sdn Bhd.