KITAB SUCI AL-QURAN

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan memeliharanya.”

(Surah al-Hijr: 9)

Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan kepada manusia akhir zaman. Kitab ini mengandungi 114 surah yang terdiri daripada 86 surah Makkiyah dan 28 surah Madaniyah. Al-Quran  juga mempunyai beberapa nama selain daripada al-Quran seperti al-Kitab, al-Mushaf, al-Nur dan al-Furqan. 

Sejarah penurunan al-Quran menunjukkan bahawa kitab suci ini diturunkan secara beransur-ansur dan mengambil masa selama 23 tahun. Penurunan kitab ini terbahagi kepada dua peringkat. Pertama, al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Penurunan al-Quran pada peringkat kedua pula adalah dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad SAW. Pada peringkat ini, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur melalui Malaikat Jibril AS sebagai perantara. Firman Allah SWT: 

“Dan al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.”

(Surah al-Isra’: 106)

Menurut jumhur ulama, lima ayat pertama daripada surah al-’Alaq merupakan ayat terawal yang diturunkan. Ayat tersebut adalah tentang kepentingan membaca. Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama semasa di Gua Hira’. Malaikat Jibril AS telah memeluk dan meminta Rasulullah SAW untuk membaca sebanyak tiga kali namun Baginda tidak tahu membaca. Akhirnya, malaikat Jibril AS mengajarkan Nabi Muhammad SAW untuk membaca surah al-’Alaq daripada ayat pertama hingga kelima.

Ibadah yang disyariatkan dalam Islam selain solat dan berpuasa adalah membaca dan mempelajari al-Quran. Al-Quran adalah kitab yang sangat istimewa berbanding dengan kitab-kitab yang lain. Banyak kelebihan al-Quran yang dijelaskan melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis. Antaranya daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: 

“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan ‘الم’ itu sebagai satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2385)

Daripada Abu Umamah RA, beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.” 

[Riwayat Muslim (804)]

Allah SWT berfirman: 

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” 

(Surah al-Fathir: 29)

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

“Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu.”

[Riwayat Muslim (2699)]

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa Allah SWT menyukai hamba-hamba-Nya yang membaca al-Quran. Sesiapa yang membaca dan mempelajari al-Quran akan memperoleh pahala yang banyak serta mampu menjadi syafaat di akhirat kelak. 

Keistimewaan al-Quran sebagai mukjizat dan kitab yang terpelihara adalah anugerah daripada Allah SWT yang perlu disyukuri oleh umat Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, sebagai umat Islam, kita perlu berusaha untuk meningkatkan pengetahuan tentang al-Quran. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan mendalami ilmu tajwid dan bahasa Arab agar kita dapat memperbaiki bacaan al-Quran. Pelajarilah al-Quran dengan bertalaqqi atau berguru dengan individu yang alim bagi memastikan ilmu yang diperoleh adalah berkat dan berguna kepada diri sendiri serta masyarakat. Jom belajar sambil bercuti ke Turki melalui Program Intensif Quran dan Bahasa Arab (IQRAB) yang dibawakan oleh Madini Travel & Tours! Rebut peluang keemasan ini untuk mempelajari al-Quran dan bahasa Arab bersama dengan para masyaikh dan asatizah yang berwibawa dalam bidang mereka. Sijil sanad akan diberikan sekiranya anda berjaya menamatkan program ini. Tunggu apa lagi? Segera hubungi kami untuk maklumat lanjut!

Madini Travel & Tours Sdn Bhd 
(1175306-D) (KPK 8370)
73-B, Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Emel : hi@madinitravel.com
cross linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram