fbpx

PENUTUPAN TANAH SUCI UMAT ISLAM KALI PERTAMA ?

“BERITA BURUK MENJELANG RAMADHAN”

Baru-baru ini, seluruh umat islam di seluruh dunia dikejutkan dengan penutupan Masjidil Haram disebabkan satu wabak penyakit berjangkit iaitu Corona virus atau dikenali juga sebagai Covid 19. Kerajaan Arab Saudi mengumumkan halangan sementara memasuki Makkah dan Madinah untuk melaksanakan ibadah umrah pada awal Mac lalu. Perkara ini sangat membimbangkan kita sebagai umat islam yang bakal menyambut bulan Ramadhan tinggal beberapa minggu sahaja lagi. Pada masa yang sama musim haji juga bakal tiba pada bulan julai.

       Namun begitu, kerajaan Arab Saudi membuat keputusan yang berani dan tepat bagi mengekang risiko penularan Covid 19 di dua kota suci tersebut. Pada awalnya, kerajaan Saudi menghalang pemberian visa kepada sesetengah negara sahaja termasuk Malaysia, China dan Singapura yang berisiko untuk membawa virus Covid 19. Tetapi disebabkan virus ini begitu cepat merebak mereka membuat keputusan untuk menghalang terus semua negara dari masuk ke Tanah Suci. Bagaimanapun, perintah ini hanyalah sementara dan akan dibuka semula apabila wabak ini kembali dalam keadaan terkawal.

       Dalam situasi Malaysia yang sedang menjalani perintah kawalan pergerakan, terkedu dengan tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan bahawa 15 Ramadhan tahun ini akan berlaku dukhan serta kucar kacir yang dasyat. Lagi kecoh bila membaca satu kenyataan yang berbunyi “ Makkah ditutup menyebabkan tidak ada orang tawaf, itu petanda Dajjal dah nak keluar”. Banyak pula pihak yang bermain dengan sentimen dan ramalan sekarang. Bagi sesetengah pihak, mereka mengambil serius kenyataan ini dan menyebarkannya di media sosial serta peranti Whatsapp menyebabkan kenyataan tersebut menjadi mesej berantai.

 

Bila berlaku dukhan ? Bila dajjal nak keluar ? Bila terjadi kiamat ? Wallahu a’lam. Admin pun tak tahu. Sedangkan Nabi Muhammad saw yang maksum pun tak tahu bila tarikh spesifik semua persoalan tersebut walaupun baginda sering berpesan bahawa kiamat sudah dekat. Kita ni yang pendosa boleh pula meramalkan tarikh spesifik berlaku semua kejadian tersebut. Untuk pengetahuan semua, ini bukanlah kali pertama Masjidil Haram ditutup. Tidak perlu la anda ambil serius dengan kenyataan mereka yang mengadu-dombakan bahawa penutupan Makkah dan Madinah ini akan berlaku kucar kacir yang dasyat tak lama lagi. Tetapi Admin tidak menyangkal yang kita kena sentiasa bersedia menghadapi perkara-perkara sebegini. Berikut adalah tahun serta sebab mengapa tanah suci Makkah pernah ditutup sebelum ini.

 

 

Pada tahun 930M, salah satu aliran Syiah Ismailiyah iaitu Qaranithah mencuri Hajar Aswad. Ketika itu, Qaranithah yang dipimpin oleh Abu Thahir Al Qaramithi datang ke Mekah bersama pengikutnya pada musim haji. Mereka membunuh Jemaah haji yang sedang melaksanakan ibadah dan mengambil bongkahan hajar aswad. Selepas 22 tahun, batu mulia tersebut dikembalikan ditempat asalnya di Kawasan Hajar (Ahsa). Kejadian ini merupakan yang paling lama kabah ditutup. Wabak corona virus bukan la penyakit pertama yang menyebabkan Kaabah ditutup. Tahun 1814M, sekitar 8000 orang telah meninggal dunia asbab Wabak Thaun di wilayah Hijaz. Hal ini menyebabkan penutupan sementara Masjidil Haram bagi mengelakkan penyebaran wabak tersebut sama seperti kerajaan Arab Saudi laksanakan sekarang.

Selain itu, terjadi juga penyebaran Wabak Hindi pada tahun 1831M. Wabak ini dipercayai berasal dari India. Ketika itu, lebih kurang tiga per empat Jemaah haji meninggal dunia. Keadaan ini menyebabkan Kawasan kaabah ditutup buat sementara waktu. Pada tahun 1846M pula, timbul satu wabak baru yang dipanggil Wabak Kolera. Penyakit ini menyebabkan umat islam yang berada diluar Mekah ketika itu tidak boleh berangkat ke tanah suci. Dipercayai wabak ini berulang pada tahun 1850M, 1865M dan 1883M. Seterusnya, wabak Kolera kembali pada tahun 1892M. Kali ini lebih parah apabila wabak ini menular dengan lebih cepat. Kematian meningkat di Arafah kemudian lebih teruk berlaku di Mina.

Kesimpulannya, tidak perlu la anda paranoid akan hal-hal sebegini. Yang penting kita sebagai umat islam teruslah beramal dan bertaubat. Semua yang menimpa kita hari ini berlaku mesti bersebab. Dalam masa yang terluang ni kita semua periksa balik amalan kita. Mungkin hikmah terjadi bencana ini adalah untuk memberi peluang kepada kita melaksanakan ibadah dengan baik. Lengkapkan ibadah kita dengan berdoa supaya Malaysia bebas dari wabak Corona virus. Insya Allah.

 

 

Leave a Reply

Note: Comments on the web site reflect the views of their authors, and not necessarily the views of the bookyourtravel internet portal. Requested to refrain from insults, swearing and vulgar expression. We reserve the right to delete any comment without notice explanations.

Your email address will not be published. Required fields are signed with *

Dikuasakan oleh Madini Travel & Tours Sdn Bhd.