4 MASJID BERSEJARAH DI SEKITAR MADINAH

Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Quba’ adalah tiga masjid utama dalam dua kota suci. Setiap jemaah umrah pastinya akan ke ketiga-tiga masjid ini berbanding ke masjid-masjid bersejarah yang lain. Entri kali ini akan memfokuskan EMPAT MASJID BERSEJARAH DI SEKITAR MADINAH yang boleh dikunjungi jika anda berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sini. Nak pergi umrah dengan pakej yang lengkap dan berpatutan? Pilih pakej Seerah, Nurani atau Maulid di Madini Travel & Tours. 

1. MASJID AL-QIBLATAIN

Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Bani Salamah kerana kedudukannya adalah di perkampungan Bani Salamah dan dinamakan sebagai Masjid al-Qiblatain yang bermaksud dua kiblat. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Bara’ bin Azib, beliau berkata bahawa Nabi Muhammad SAW solat menghadap Baitulmaqdis selama 16 bulan dan Baginda SAW ingin menghadap Kaabah, maka Allah SWT berfirman: 

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah (mengangkat kepala) ke langit maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu berpalinglah mukamu ke arah masjid al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.” 

(Surah al-Baqarah: 144)

Wahyu di atas diturunkan semasa Nabi Muhammad SAW sedang menunaikan solat bersama dengan para sahabat. Mendengarkan wahyu tersebut, Baginda SAW lantas menukar arah kiblat ke arah Baitullah dan perbuatan Baginda SAW diikuti oleh para sahabat. Solat Zuhur di Bani Salamah ialah awal solat Rasulullah SAW menghadap ke Mekah manakala solat pertama kali menghadap Mekah di Masjid Nabawi ialah solat Asar. Setelah khabar tentang penukaran arah kiblat sampai kepada penduduk di Masjid Quba’, solat pertama mereka yang menghadap ke Baitullah adalah pada waktu Subuh.

Semasa zaman pemerintahan Raja Fahd bin Abdul Aziz iaitu penjaga dua kota suci, Masjid al-Qiblatain telah mengalami pengubahsuaian dan perluasan. Masjid ini dibina dua tingkat, dua menara dan dua kubah. Selepas proses perluasan berlaku, keluasan keseluruhan masjid al-Qiblatain adalah 3,920 persegi. 

2. MASJID AL-IJABAH

Masjid ini adalah berhampiran dengan perkuburan al-Baqi’. Setelah perluasan Masjid Nabawi dilakukan oleh raja-raja as-Saud II, jarak antara Masjid al-Ijabah dan Masjid Nabawi ialah 580 meter. Masjid ini telah mengalami perluasan dan baik pulih semasa pemerintahan Raja Fahd bin Abdul Aziz pada tahun 1418 Hijrah. Masjid ini merupakan bangunan beratap dengan keluasan 1,000 meter persegi. Kubah setinggi 13.7 meter dan sebuah menara setinggi 33.7 meter serta pelbagai kemudahan lain terdapat di sini.  Masjid ini turut dinamakan Masjid Bani Muawiyah kerana keberadaannya adalah di perkampungan Bani Muawiyah. 

3. MASJID AL-JUMUAH 

Masjid al-Jumuah ialah masjid yang terdapat di perkampungan Bani Salim bin Auf. Ia dinamakan Masjid al-Jumuah kerana Nabi Muhammad SAW telah menunaikan solat Jumaat yang pertama di tempat ini semasa datang dari perkampungan Quba’ menuju ke Madinah. Oleh itu, para sahabat membina sebuah masjid di sini. Al- Maraghi (wafat pada tahun 816 Hijrah) berkata tentang masjid ini: 

“Rasulullah SAW keluar dari Quba’ pada hari Jumaat, ketika hari beranjak tinggi, Baginda mendapati waktu solat jumaat telah tiba si perkampungan Bani Salim bin Auf. Baginda pun melakukan solat Jumaat di dasar lembah atau wadi Ranunaa.Oleh sebab itu, maka masjid ini juga dinamakan dengan Masjid al-Wadi dan Masjid al-Jumuah.”

4. MASJID AL-FATH

Masjid ini dinamakan al-Fath yang bermaksud kemenangan kerana Rasulullah SAW berada di dalam masjid ini semasa Allah menurunkan wahyu yang mengkhabarkan berita gembira kepada Nabi Muhammad SAW iaitu akan datangnya kemenangan dalam Perang Khandak. Masjid ini diubahsuai dan diluaskan pada zaman Umar bin Abdul Aziz serta diperbaharui pada tahun 575 Hijrah oleh penguasa Mesir. Raja Fahd bin Abdul Aziz juga telah mengubah suai masjid ini sepenuhnya semasa pemerintahannya. 

Perkembangan sejarah Islam dapat dilihat melalui masjid-masjid yang didirikan dan dimakmurkan semasa zaman Rasulullah SAW. Banyak ibrah yang diperoleh jika kita menghayati sejarah-sejarah ini. 

Madini Travel & Tours sentiasa memastikan jemaah-jemaah kami merasai perjalanan umrah yang terbaik bermula daripada pendaftaran hingga pulang ke tanah air. Jemaah berpuas hati dengan panduan dan pengisian yang disampaikan oleh mutawif-mutawif kami selama 10 malam di sana. Segera hubungi Madini Travel untuk tempahan pakej umrah dengan harga serendah RM10, 980!

Madini Travel & Tours Sdn Bhd 
(1175306-D) (KPK 8370)
73-B, Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Emel : hi@madinitravel.com
cross
×

Assalamualaikum.
Tekan untuk hubungi pegawai kami

× Whatsapp
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram