PERSIAPAN DIRI UNTUK MENUNAIKAN UMRAH

Selain daripada persiapan kelengkapan umrah yang hendak dibawa, diri kita juga memerlukan persiapan serapi mungkin untuk menjadi 'Duyufurrahman'. Antara persiapan diri yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

1. BETULKAN TUJUAN DAN NIAT HANYA KERANA ALLAH SWT

Setiap bentuk pekerjaan akan menjadi ibadah dan memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT apabila ia diniatkan untuk mematuhi perintah Allah SWT semata-mata. Sistem kerja juga hendaklah menepati syariat yang ditetapkan, tidak berlaku sebarang ketirisan dan penyelewengan serta menyempurnakan ibadah-ibadah wajib seperti solat, berpuasa, berzakat dan lain-lain. Oleh sebab itu, kita perlu elakkan diri daripada menunaikan umrah atau haji atas faktor-faktor sosial, ekonomi, politik atau tujuan lain yang boleh menjejaskan pahala beribadah. 

2. MEMPEROLEH ILMU YANG CUKUP

Ilmu ialah pengetahuan dalam pelbagai aspek sama ada berkaitan dunia, akhirat dan sebagainya. Setiap ibadah akan menjadi sia-sia sekiranya dilakukan tanpa ilmu yang tepat. Hal ini kerana rukun-rukun dalam sesuatu ibadah seperti umrah mestilah dipelajari, difahami, dipatuhi dan tidak boleh dilakukan secara ikut-ikutan semata-mata. Tujuannya adalah untuk memastikan agar tatacara ibadah umrah yang dikerjakan adalah sempurna dan tidak bergantung dengan orang lain. 

3. MENGGUNAKAN WANG DARIPADA SUMBER YANG HALAL

Setiap ibadah yang dilakukan menunjukkan bahawa kita adalah hamba Allah yang amat bergantung harap kepada-Nya. Kita juga tidak pernah mengetahui status ibadah yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT atau sebaliknya. Penerimaan ibadah yang dilakukan adalah bergantung kepada kesempurnaan dalam melaksanakannya dan sumber wang yang bersih. Pastikan wang yang digunakan untuk menunaikan umrah (makan, minum, tambang, penginapan dan sebagainya) serta kehidupan seharian adalah daripada sumber yang halal, bersih dan bebas daripada penyelewengan atau penindasan. Keberkatan dalam hidup bukan sahaja hilang jika malahan berdosa jika mata pencarian kita adalah daripada sumber yang haram.

4. SEMPURNAKAN SEMUA RUKUN ISLAM YANG LAIN

Kefahaman dan pelaksanaan tentang rukun Islam berkaitan syahadah, solat lima waktu, berpuasa dan berzakat adalah amat penting terhadap jemaah sebelum menunaikan umrah.

5. BANYAK BERSEDEKAH 

Kita dapat menambah pahala, mengurangkan dosa dan membantu hubungan sesama insan dengan bersedekah kerana ia adalah amalan yang berupaya meringankan beban orang lain. Kita digalakkan untuk memperbanyak sedekah sebelum menunaikan umrah dan semasa di Tanah Suci. Amalan ini bukan sahaja menggembirakan penerima tetapi juga pihak yang memberi. 

6. SOLAT BERJEMAAH

Setiap masa perlulah dimanfaatkan untuk beribadah sebanyak dan sebaik mungkin terutamanya solat berjemaah. Peluang-peluang untuk beribadah dengan tekun semasa umrah adalah amat berharga untuk disia-siakan begitu sahaja lebih-lebih lagi di Masjidil Haram. 

7. JAUHI AMALAN-AMALAN SYIRIK

Perkara-perkara syirik seperti bergantung kepada tangkal atau beramal dengan ilmu hitam tidak seharusnya dilakukan oleh umat Islam lebih-lebih lagi individu yang bakal menjadi tetamu Allah. Perbuatan menyekutukan Allah adalah berdosa besar. Kita juga perlu memupuk diri agar tegas dan tidak meremehkan hal halal-haram, dosa-pahala serta syurga-neraka kerana terlalu mengejar kebendaan dan hal-hal duniawi yang lain.

8. BERTAUBAT 

Jemaah umrah hendaklah bertaubat sebelum berangkat ke Tanah Suci dengan melakukan beberapa perkara seperti: 

  • Serta merta meninggalkan perkara atau perbuatan yang menimbulkan dosa
  • Berazam tidak akan mengulangi dosa-dosa yang sama dengan sepenuh hati 
  • Menyesali sepenuh hati terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan
  • Mohon maaf terhadap individu-individu yang berkaitan sekiranya dosa yang dilakukan adalah terhadap manusia

9. BAIKI AKHLAK DAN HINDARI SIFAT-SIFAT TERCELA (MAZMUMAH)

Peribadi sebenar seseorang kebiasaannya dapat dilihat semasa berada di Tanah Suci Mekah. Seseorang yang ingin menjadi tetamu Allah mestilah baik adabnya daripada aspek tingkah laku, percakapan serta niat dihati. Panas baran, takbur, riak, sombong, dengki dan sebagainya adalah sifat-sifat tercela yang perlu dijauhi oleh umat Islam. 

10. JAGA KESIHATAN JASMANI DAN ROHANI 

Kesihatan fizikal dan mental serta emosi yang stabil amat diperlukan semasa menjalani ibadah umrah kerana umrah ialah ibadah fi’liyah (perbuatan). Pemakanan seimbang dan bersenam adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan. Jemaah perlu melatih diri agar bersabar, bijak mengendalikan perasaan dan bersikap positif. 

11. DOA DAN TAWAKAL 

Banyakkan berdoa supaya Allah memudahkan setiap urusan kita dan bertawakal kepada-Nya setelah semua persiapan dilakukan. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang. 

Persiapan ini adalah amat penting untuk membentuk diri menjadi lebih baik dan bersedia untuk menghambakan diri sebagai tetamu Allah. Ketepikan seketika hal-hal dunia yang tiada surutnya untuk kita serahkan jiwa dan raga ini kepada Allah SWT. Madini Travel & Tours sentiasa berusaha untuk mengejar kemanisan beribadah semasa umrah melalui pelbagai pengisian yang padat dalam pakej umrah kami. Selain umrah, kami turut membawa anda menziarahi tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Quba’, Taif dan banyak lagi. Jom telusuri pakej-pakej umrah kami iaitu Seerah, Nurani dan Maulid untuk mengetahui kelebihan umrah bersama dengan Madini Travel. 

Madini Travel & Tours Sdn Bhd 
(1175306-D) (KPK 8370)
73-B, Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Emel : hi@madinitravel.com
cross linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram