fbpx

RINDU SUASANA RAMADHAN DI KELANTAN

PENGALAMAN RAMADHAN DI BUMI SERAMBI MAKKAH

Penguguman terbaru oleh kerajaan adalah melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu. Sedangkan Ramadhan akan kunjung tiba tinggal beberapa hari jea lagi. Nampaknya kita akan menyambut bulan Ramadhan semasa tempoh PKP. Kalau diikutkan kita akan berpuasa selama 6 hari dalam tempoh PKP jika ianya tidak dilanjutkan ke tahap 4. Bulan puasa tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Mana tidaknya kita terpaksa solat Taraweh di rumah sehingga arahan dari pihak kerajaan membenarkan kita solat di masjid. Jika sebelum-sebelum ini kita dapat meraikan berbuka puasa dengan juadah-juadah menarik yang dijual di bazaar Ramadhan, tahun ini kita dikawal dari pergi ke tempat-tempat yang ramai pengunjung atau Mass Gathering. Malah ada sesetengah negeri telah pun mengumumkan yang tiada bazaar Ramadhan pada tahun ini seperti salah satunya Terengganu. Perintah ini walaupun sedikit mengganggu kemeriahan Ramadhan kita tetapi ini adalah keputusan terbaik bagi mengelakkan penularan secara terus wabak Covid19. Namun kali ini saya tidak akan bercerita tentang Covid19 seperti beberapa post sebelum ni. Suka saya disini untuk berkongsi tentang pengalaman saya ketika menyambut bulan Ramadhan di Negeri Kelantan semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

      Dari Hulu Yam ke Pengkalan Chepa saya membawa diri untuk menuntut ilmu. Bermastautin di negeri orang bukan sekadar menjadi platform untuk kita menuntut ilmu sahaja tetapi memberi peluang untuk kita mengenal budaya masyarakat negeri tersebut.  Semua orang tahu Kelantan merupakan negeri yang terkenal dengan bermacam jenis masakan atau kuih muih yang unik dan sedap. Sangat rugi la bagi sesiapa yang datang ke Kelantan tetapi tidak merasa masakan negeri ini. Kelantan mungkin tidak menjadi tumpuan kepada sesiapa yang suka melancong ke tempat menarik akan tetapi nama Kelantan sering menjadi bualan hangat di bibir-bibir food hunter di seluruh dunia. Dengan kepelbagaian makanan disana memang menjadikan negeri ini berada di kelas tersendiri dari sudut pelancongan. Kelantan terkenal dengan masakan yang manis. Boleh dikatakan majoriti makanan yang berasal dari negeri ini mempunyai rasa yang manis. Suasana sudah tentu berbeza menyambut Ramadhan disana dan di tempat sendiri lagi-lagi ini merupakan kali pertama saya menetap di Kelantan.

 

Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Perbezaan pertama yang saya dapati adalah kelainan beberapa jenis juadah yang tiada di Negeri Selangor dan saya temuinya disini terutamanya di bazaar Ramadhan. Salah satu juadah yang terkenal semasa menyambut Ramadhan adalah Ayam Pasu. Dengar nama sahaja sudah pelik bukan? Nama juadah ini sebenarnya mengambarkan kaedah bagaimana ayam ini disediakan iaitu dengan memanggangnya di dalam pasu. Rasanya juga sedap dan unik. Boleh dikatakan lauk ini wajib dibeli setiap kali menyambut Ramadhan. Lauk seperti Ayam Percik tidaklah asing bagi setiap negeri di seluruh Malaysia namun di Kelantan rasanya sangat berbeza dari negeri-negeri lain. Juadah berat seperti Nasi Kerabu menjadi pilihan ramai jika tiba di negeri cik siti wan kembang ini. Keasliannya boleh dikatakan susah nak jumpa di negeri lain.

Selain itu, antara juadah yang terkenal semasa bulan puasa adalah kuih Kerbau Guling. Kuih ini sangat banyak dijual ketika bulan Ramadhan dan mempunyai peminatnya tersendiri. Nama yang unik dan rasa yang enak membuatkan kuih ini pernah viral di sosial media beberapa tahun dahulu. Meskipun saya bukanlah peminat kuih ini tetapi saya dapati ramai pelajar yang bukan berasal dari Kelantan menyukainya. Terdapat banyak lagi kuih yang unik di sana. Kuih yang sinonim dengan negeri Kelantan iaitu kuih Akok juga antara menu wajib ketika berbuka. Rasanya yang manis memang sesuai dijadikan pencuci mulut. Banyak lagi la kuih yang jarang saya jumpa di tempat lain yang ada di Kelantan. Kuih-kuih seperti Butir Nangka, Tahi Itik, Lompat Tikam, Nekbat Sira, Buah Tanjung, Jala Emas, Sang Guppal dan Kuih Topi antara juadah yang mewarnai Bazaar Ramadhan di Kelantan. Akhir sekali, juadah yang paling unik bagi saya adalah “colek”. Juadah ini adalah yang paling popular di Negeri Kelantan ketika bulan Ramadhan dan selalunya ada dimana-mana sahaja. “Colek” adalah makanan dari gabungan atau gaulan beberapa juadah lain seperti ayam, daging, cucur udang, perut lembu, sayur-sayuran dan banyak lagi, sangat popular dan sesuai dimakan beramai-ramai bersama rakan-rakan atau ahli keluarga. Kebiasaannya colek dijadikan santapan ketika Moreh.

 

Kuih Kerbau Guling

Nak menceritakan tentang makanan di Kelantan memang sangat panjang, jadi saya masuk kepada perbezaan seterusnya. Perbezaan lain yang saya dapati adalah dari segi kemasyarakatan disana dan ia merupakan pendapat peribadi saya sendiri sebagai seorang pelajar yang merantau di negeri Kelantan. Berbuka di masjid adalah satu kemestian bagi warga pelajar kerana ini adalah peluang kami untuk menjimatkan duit pada asalnya. Namun, hari demi hari ia memberikan satu manfaat besar buat kami sebagai pelajar untuk mengambil peluang beramah mesra dengan penduduk kampung serta dapat melakukan amalan seperti mendengar tazkirah, tahlil setiap hari dan membaca Al Quran. Seperti semua tahu, orang Kelantan sangatlah peramah. Sifat terbuka ini menjadikan mereka sangat mengalu-alukan kehadiran para pelajar sekaligus mengenepikan persepsi masyarakat luar mengenai mereka. Ia merupakan pengalaman berharga buat kami kerana peluang seperti ini tidak akan hadir sekiranya kami tidak memilih untuk merantau ke negeri ini. Amalan ibadah berskala besar juga dapat diadakan dikalangan para pelajar terutamanya yang dianjurkan oleh pihak universiti.

 

Demikianlah sedikit perkongsian saya mengenai Ramadhan di negeri Kelantan Darul Naim. Betullah kata orang jauh perjalanan maka luaslah pemandangan. Nasihat saya kita mestilah sentiasa melihat ke sisi positif di setiap tempat yang kita pergi kerana ia boleh memberikan kita seribu satu pengajaran mahupun ilmu baharu. Nikmat Ramadhan tahun ini ditarik seketika oleh yang Maha Esa supaya kita sedar akan dosa-dosa kita sebelum ini. Kita lupa dan leka dengan keseronokkan sementara. Mungkin ada diantara kita yang gelisah dengan situasi semasa lagi-lagi di bulan puasa. Dimasa yang lapang inilah kita bersihkan hati dan terus bersabar. Doakan yang terbaik untuk negara kita dan seluruh umat islam di dunia. Tepuk dada tanya iman. Semoga kita dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang baik bagi menempuhi bulan Ramadhan yang akan menjelma tidak lama lagi.

-Mohd Hilmi-

 

Leave a Reply

Note: Comments on the web site reflect the views of their authors, and not necessarily the views of the bookyourtravel internet portal. Requested to refrain from insults, swearing and vulgar expression. We reserve the right to delete any comment without notice explanations.

Your email address will not be published. Required fields are signed with *

Dikuasakan oleh Madini Travel & Tours Sdn Bhd.