Tidak lengkap rasanya menjejakkan kaki ke Tanah Suci tanpa menziarahi tempat-tempat bersejarah bagi umat Islam. Bukit Thur, Jabal Rahmah dan Jabal Nur adalah lokasi-lokasi yang kerap dikunjungi oleh jemaah umrah. Antara tempat-tempat bersejarah yang lain adalah seperti berikut:
1. Bukit Thur
Bukit Thursina atau lebih dikenali sebagai Bukit Thur terletak 27KM dari Masjidil Haram. Terdapat sebuah gua di atas puncak bukit tersebut iaitu gua persembunyian Nabi Muhammad SAW bersama-sama sahabatnya, Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Rasulullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq RA telah bersembunyi di gua tersebut kerana mereka telah dikejar oleh golongan kafir Quraisy yang ingin membunuh Nabi Muhammad SAW semasa dalam perjalanan hijrah dari Mekah ke Madinah.
2. Padang Arafah
Jemaah haji dari seluruh dunia akan melaksanakan rukun haji yang kedua iaitu berwukuf pada 9 Zulhijjah di Padang Arafah. Para jemaah akan ‘mengasingkan diri’ daripada urusan dunia dan hanya beribadah kepada Allah SWT.
3. Jabal Rahmah
Pertemuan antara Nabi Adam A.S dan Hawa setelah berpisah sekian lama sebaik sahaja diturunkan dari syurga ke bumi telah berlaku di sebuah bukit bernama Jabal Rahmah. Lokasi ini adalah salah satu lokasi ziarah yang amat popular dalam kalangan jemaah umrah dan haji.
4. Jabal Nur
Di atas bukit ini terletak gua yang amat terkenal dalam sejarah Islam iaitu Gua Hira’. Tahun kenabian Nabi Muhammad SAW telah bermula di gua ini. Rasulullah SAW sentiasa beribadah dan bertafakur di Gua Hira’ sehingga Allah SWT menurunkan wahyu pertama ke atas Baginda melalui malaikat Jibril. Bukit ini terdiri daripada batu-batu besar dan tidak mempunyai sebarang tanaman. Gua Hira’ ini terletak betul-betul menghadap Kaabah. Keindahan panorama di sekitar kota Mekah yang dipenuhi cahaya lampu pada awal pagi termasuklah menara Masjidil Haram dapat dilihat daripada puncak Jabal Nur.
5. Hudaibiyah
Hudaibiyah ialah tempat berlakunya suatu perjanjian genjatan senjata antara pihak Rasulullah SAW dan kaum Muslimin di Madinah dengan orang-orang kafir Quraisy di Mekah. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiyah dalam sirah Islam.
6. Mina (Tempat Umat Islam Melontar Jamrah)
Kita boleh pergi ke Mina untuk melihat ketiga-tiga jamrah secara dengan lebih dekat. Jemaah haji akan melontar ketiga-tiga jamrah sebagai simbolik kebencian terhadap syaitan semasa musim haji pada 10 hingga 13 Zulhijjah.
7. Muzdalifah
Muzdalifah ialah tempat yang terletak antara Arafah dan Mina. Jemaah haji dari seluruh dunia akan memungut batu-batu kerikil untuk dibawa ke Mina bagi melontar jamrah. Namun begitu, jemaah Malaysia tidak perlu berbuat demikian kerana pihak pengurusan muassasah telah menyediakan batu-batu yang dimasukkan ke dalam uncang.
8. Jabal Abi Quwais
Bukit ini terletak di sebelah Safa. Masjid Bilal dan Masjid Insyiqaqul Qamar dahulu terletak di atas bukit ini.
9. Darul Arqam bin Abi al-Arqam
Darul Arqam bin Abi al-Arqam ialah bekas tapak rumah al-Arqam bin Abdi Manaf al-Makhzurni RA. Nabi Muhammad SAW mula berdakwah secara sulit di rumah ini dan mendirikan solat bersama dengan para sahabat yang telah beriman.
10. Tanah Perkuburan Ma’la
Sebuah tanah perkuburan awam sejak zaman Rasulullah SAW hingga ke hari ini. Ramai para sahabat dan keluarga Nabi Muhammad SAW telah dikebumikan di sini termasuklah isteri Baginda SAW, Khadijah binti Khuwailid.
Kita dapat menelusuri sirah-sirah Islam melalui aktiviti ziarah ke tempat-tempat bersejarah sebegini. Madini Travel & Tours menawarkan pakej umrah dengan harga mampu milik termasuklah aktiviti ziarah. Pakej Seerah kami menawarkan 3 kali ziarah di Mekah dan Masjid Quba’ di Madinah secara percuma dengan harga serendah RM10,980. Daftar sekarang!